loading...
KUALA TERENGGANU: Satu 'kelab dangdut' telah menjadi tarikan penduduk kerana ianya dikatakan menjadi tempat untuk berhibur di mana banyak penghibur wanita yang berpakaian seksi menjadi tarikan pengunjung kelab ini.
Kelab ini dikatakan wujud di Kampung Telari, Manir di Kuala Terengganu dan dalam pada masa yang sama, ia juga dikenali sebagai Kampung Terlara.
Difahamkan, kelab ini telah wujud sejak lima tahun yang lalu dan menjadi salah satu tarikan pelanggan yang mana kebanyakan daripadanya adalah warga emas yang berumur 60 hingga 70 tahun.
Malah, pelanggan juga dikatakan tanpa segan silu menari dan menyanyi di perkarangan kelab dangdut itu dan turut diiringi dengan melakukan perkara lucah sekali gus mengganggu ketenteraman penduduk di kampung berhampiran.
Tidak cukup dengan perkara itu, pelanggan yang datang juga bagaikan ulat bulu naik daun apabila mereka tanpa segan dan malu menari bersama penyanyi wanita yang dibawa dari Kelantan di atas pentas dan dalam pada masa yang sama turut memberikan wang kepada mereka.
Namun apa yang lebih memalukan adalah kewujudan kelab itu seakan-akan tidak menghormati jemaah masjid yang turut mengadakan aktiviti keagamaan berikutan jaraknya hanyalah 200 meter sahaja dari masjid.
Penduduk setempat dikatakan pernah memberikan teguran kepada pemilik premis terbabit namun ianya langsung tidak diendahkan.
Tinjauan mendapati kelab dangdut itu menjadi tumpuan pelanggan bermula pada jam 9 malam dan ianya berlarutan sehingga ke waktu pagi.
Seorang penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Zaki, 41, berkata, kawasan itu pada mulanya dijadikan sebagai tempat penganjuran aktiviti dikir barat sejak 20 tahun yang lalu namun ianya mula berubah menjadi 'kelab dangdut'.
"Kelab dangdut itu aktif antara tiga hingga empat kali seminggu dengan empat hingga lima penyanyi yang dibawa dari Kelantan."
"Sudahlah kebanyakan pengunjung yang datang terdiri daripada warga emas, mereka juga tidak menghormati jemaah yang mengadakan program keagamaan di masjid berkenaan."
"Mana tidaknya, apabila mereka membuat persembahan lebih 100 hingga 200 pengunjung akan datang dengan pengunjung bukan hanya dari kampung ini tetapi pelanggan dari daerah lain," katanya.
Dalam pada masa yang sama, jemaah masjid yang hanya dikenali sebagai Hafizi, 32, berkata, aktiviti itu telah memberi pengaruh yang kurang baik kepada golongan muda termasuklah kanak-kanak.
"Keadaan ini menimbulkan rasa tidak tenteram penduduk pada waktu malam. Warga emas yang sepatutnya menasihati golongan remaja pula terbabit sama dalam aktiviti yang tidak berfaedah ini."
"Selain itu, saya juga bimbang dengan pengaruh yang akan diberikan kepada kanak-kanak yang masih bersekolah. Mana tidaknya ada juga ibu bapa yang membawa anak-anak mereka ke tempat yang tidak bermoral ini dan balik pada lewat malam."
"Aktiviti itu bukan hanya memberi kesan tidak baik kepada penduduk tetapi nama kampung ini turut terpalit apabila dikenali sebagai 'Kampung Terlara' kerana aktiviti tidak bermoral itu."
"Saya harap pihak berkuasa bertindak dan tidak hanya memandang aktiviti ini sebelah mata kerana ia memberi kesan buruk kepada generasi baharu di kampung ini," katanya. Sumber: Harian Metro, Editor: Amira
loading...
loading...
0 Response to "'Kelab Dangdut' Tarikan Penduduk Kampung Terlara"
Catat Ulasan