SinarHairan

Ujian DNA Sahkan Jenazah Amir Hamzah

loading...

IBU Amir Hamzah Mohd Rozali, pelajar yang hilang selepas terbabit kemalangan di Kilometer 14.5 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), minggu lalu, reda dengan hasil keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang mengesahkan mayat ditemui di Sungai Kandis, Isnin lalu, adalah anaknya.

Mariam Shanani Harun, 60, berkata keputusan DNA yang diketahui hari ini akhirnya menamatkan penantian mereka sekeluarga walaupun perkara itu menyedihkan mereka.

“Mayat itu anak saya kerana ada dua kesan parut di bahagian betis sebelah kiri dan perut itu sama dengan Amir.

“Ibu mana yang tidak sedih melihat anaknya meninggal dunia namun saya bersyukur ia selesai.

“Bagi saya, Amir adalah anak yang periang dan manja semasa hidupnya. Amir pasti akan dirindui oleh kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di Unit Foresik Hospital Shah Alam hari ini.

Bagaimanapun, beliau masih tidak mengetahui bagaimana punca sebenar Amir Hamzah, 22, terbabit dengan kemalangan itu.

Katanya, berdasarkan maklumat awal yang diberitahu kepadanya, Allahyarham dikatakan membantu seorang daripada mangsa kemalangan terbabit.

“Saya diberitahu, Amir mungkin terpelanting ke dalam sungai susulan penemuan beberapa barangannya termasuk topi keledar yang pecah dan beg miliknya.

“Tetapi saya tidak tahu bagaimana dia boleh terpelanting ke dalam sungai itu,” katanya.

Mengulas lanjut, Mariam yang tinggal di Pulau Pinang berkata, anaknya sepatutnya menyertai Angkatan Tentera Malaysia semalam.

“Amir juga tidak sempat menerima Diploma Pengurusan Penerbangan dalam majlis konvokesyennya pada 13 Oktober lalu,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib mengesahkan mayat yang ditemui tersangkut di perangkap sampah, Isnin lalu, adalah Amir Hamzah.

Beliau berkata hasil laporan ujian DNA yang dilakukan pihak Hospital Shah Alam (HSA) adalah positif.

Dalam kemalangan terbabit yang berlaku awal pagi Jumaat minggu lalu, seorang lelaki dan wanita maut, tujuh parah, manakala Amir Hamzah yang dikatakan dalam perjalanan dengan menunggang motosikal Yamaha Y15 dari Lenggong, Perak menuju ke Padang Jawa tidak ditemui.

Motosikal milik Amir Hamzah ditemui dalam keadaan enjin masih hidup sebaik pihak berkuasa selesai mengalihkan beberapa kenderaan terbabit dalam kemalangan itu. - Harian Metro
loading...
loading...

0 Response to "Ujian DNA Sahkan Jenazah Amir Hamzah"

Catat Ulasan