loading...
KANAK-KANAK perempuan berusia dua tahun terperangkap hampir sejam dalam kereta bapanya di stesen minyak di Jalan Batu Arang, Batu 22 Sungai Bakau, Rawang, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, mangsa dikatakan ditinggalkan sebentar oleh bapanya yang ke kaunter untuk membuat pembayaran.
Ketika itu, penghawa dingin dan enjin kereta terpasang.
Bagaimanapun, sebaik bapanya kembali ke kereta dan mengisi minyak, dia mendapati pintu kereta sudah terkunci dan gagal membukanya dipercayai akibat perbuatan anaknya yang bermain dengan kunci kenderaan berkenaan.
Selepas beberapa minit gagal memujuk anaknya untuk membuka pintu kereta, bapa mangsa akhirnya terpaksa menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan.
Bomba yang menerima panggilan pada 12.15 tengah hari, menghantar satu jentera bersama tujuh pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang ke lokasi untuk kerja menyelamat.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Noor Fazida Tina Muhamad Noor berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 15 minit untuk menyelamatkan kanak-kanak berkenaan menggunakan beberapa peralatan khas.
"Kita terpaksa buka ‘fender’ dan but kereta terbabit sebelum anggota kita masuk melalui but kereta berkenaan untuk membuka pintu kenderaan.
"Ketika proses berkenaan dijalankan, mangsa sudah terlena di tempat duduk pemandu mungkin kerana kepenatan dan tidak menyedari apa yang berlaku di sekelilingnya," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.
Menurut beliau, ibu bapa dan mana-mana pihak tidak sewajarnya melakukan kecuaian sedemikian kerana kejadian seperti itu sudah acap kali berlaku dan ia sepatutnya dijadikan iktibar untuk tidak meninggalkan kanak-kanak bersendirian dalam kenderaan. - Harian Metro
loading...
loading...
0 Response to "Ditinggalkan Oleh Bapanya Yang Ke Kaunter Pembayaran"
Catat Ulasan