SinarHairan

Isteri Tipu Suami Dan Ibu Mertua Dakwa Kandungan Dicuri Geng Pemerdangan Organ

loading...

Bogota: Seorang wanita berpura-pura mengandung selama sembilan bulan sebelum berlakon diculik geng pemerdangan organ pada hari dia sepatutnya melahirkan anak, semata-mata kerana tidak mahu suami meninggalkannya.

Antonela Milena Padilla, 37, mendakwa diculik sekumpulan orang yang melarikannya menaiki van sebelum memberinya dadah dan memotong perutnya untuk mengeluarkan bayinya.

Namun, kisahnya itu akhirnya terdedah sebagai penipuan, apabila dia sebenarnya menggunakan kusyen sepanjang tempoh ‘kehamilan’ untuk memastikan suaminya tidak meninggalkannya.

Setiap bulan dia membesarkan ‘kandungannya’ dengan mengisi kusyen berkenaan menggunakan kain, selain mencetak gambar imbasan ultrabunyi dari Internet untuk ditunjukkan kepada keluarga dan rakannya, lapor The Mirror.

Suaminya tidak pernah mengesyaki sesuatu tidak kena, malah amat teruja bakal bergelar bapa untuk kali pertama.

Penipuannya terbongkar pada hari dia dijadualkan menjalani pembedahan Caesarean di hospital tempatan. Dia meninggalkan rumahnya di Barranquilla, utara Colombia, pada jam 10 pagi untuk ke klinik, tetapi kemudian mendakwa diculik geng menaiki van merah.

Antonela mendakwa hanya tersedar pada jam 7 malam di luar sebuah pasar raya sebelum menyedari kandungannya sudah tiada. Dia kemudian menghubungi suami dengan mengatakan geng pemerdagangan organ mengeluarkan anak dari perutnya untuk menjual anggota badan bayi itu.

Keluarganya yang bimbang memaksanya pergi ke hospital tanpa kerelaannya dan kakitangan yang terkejut dengan dakwaannya menghubungi polis, seterusnya melancarkan operasi besar-besaran untuk menjejak penculik berkenaan.

Bagaimanapun, polis mula mengesyaki sesuatu tidak kena apabila hasil pemeriksaan menunjukkan Antonela tidak mengalami kecederaan konsisten dengan kisahnya. Malah, ujian lanjut mendapati dia tidak pernah hamil selain tiada kesan sedatif dalam badannya.

Ibu mentua Antonela memberitahu akhbar Al Dia, wanita itu tetap menegaskan dia hamil.

“Ujian dijalankan membuktikannya, namun dia tetap mendakwa dia hamil. Sepanjang ‘kehamilannya’ anak saya tidak pernah mengikutnya masuk melakukan pemeriksaan, sebaliknya cuma menunggu di pintu hospital.

“Memang perutnya kecil, namun kami tidak pernah mengesyaki apa-apa. Anak saya berkata, mereka memang hidup bersama, namun dia tidak pernah menyentuh perut isterinya untuk merasa ‘bayi’ itu.

“Tiada sebab untuk Antonela berbuat begini,” katanya.

Anotenla melarikan diri dua jam selepas ujian darah mengesahkan dia tidak hamil.

Komander polis, Mariano Cotero Coy berkata, Antonela boleh didakwa kerana membuang masa dan sumber awam. - Harian Metro
loading...
loading...

0 Response to "Isteri Tipu Suami Dan Ibu Mertua Dakwa Kandungan Dicuri Geng Pemerdangan Organ"

Catat Ulasan