SinarHairan

Al-Quran Melarang Perbuatan Mengintip Serta Mendedahkan Aib Atau Dosa Peribadi

loading...

KERAJAAN digesa memberi fokus untuk membanteras dosa yang memberi kesan kepada masyarakat awam, berbanding memberi tumpuan kepada dosa peribadi.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, pendekatan sesetengah pihak yang memberi fokus kepada dosa peribadi dan memandang ringan dosa awam, menyebabkan Islam disalah fahami.

"Pendekatan seperti ini yang menyebabkan sesetengah kelompok 'Islamist' tidak sanggup bergaul dengan golongan yang isteri mereka tidak bertudung tetapi rasa tidak bersalah bekerjasama dengan mereka yang rasuah dan salah guna kuasa secara nyata.

"Golongan agama seperti inilah yang membela isu rasuah, tapi membangkitkan isu kelemahan peribadi pihak yang mereka musuhi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dilaporkan berkata, pihak berkuasa agama tidak akan lagi mengetuk dan memecahkan pintu pada waktu malam bagi menyiasat atau melaksanakan operasi khalwat.

Dalam satu temu bual dengan akhbar berbahasa Inggeris, Mujahid dilaporkan berkata, apa yang dilakukan orang Islam di sebalik pintu tertutup bukanlah urusan kerajaan.

Mohd Asri yang senada dengan Mujahid berkata, masyarakat perlu membezakan antara dosa individu dengan Allah SWT, serta dosa dengan Tuhan namun memberi mudarat kepada pihak lain seperti rasuah, merompak, mencuri, merogol, pecah amanah dan menyebar hadis palsu.

"Apabila kita gagal membezakannya, maka golongan kuat agama heboh jika ada tokoh yang berkhalwat tetapi membisu apabila ada isu rasuah dan penyalahgunaan harta awam berleluasa.

"Isu aib peribadi diangkat dan diberikan pelbagai ulasan agama, sementara isu jenayah awam pula golongan agamawan ramai yang mendiamkan. Ini adalah tanda kesongsongan kita dalam memahami jenis-jenis dosa," katanya.

Mufti Perlis itu berkata, al-Quran dan hadis melarang perbuatan tajassus atau mengintip serta mendedahkan aib atau dosa peribadi.

"Dosa yang boleh memberi kemudaratan kepada pihak lain, maka kita boleh mendedahkannya untuk memelihara keselamatan ataupun kemaslahatan pihak lain," katanya.

Mohd Asri turut memetik beberapa hadis, antaranya yang menunjukkan seseorang itu tidak disuruh mengakui dosa peribadinya walaupun dihadapan Nabi Muhammad, selain bagaimana Baginda menolak beberapa kali pengakuan zina seorang individu.

"Ini sangat berbeza dengan mentaliti sesetengah pihak berkuasa agama yang suka mencari-cari dosa peribadi ini," katanya. - Harian Metro
loading...
loading...

0 Response to "Al-Quran Melarang Perbuatan Mengintip Serta Mendedahkan Aib Atau Dosa Peribadi"

Catat Ulasan