loading...
LABIS – Hasrat untuk bercuti bersama seluruh ahli keluarga di Melaka pada Mac akan datang tidak kesampaian apabila wanita berusia 48, Rosni Abu meninggal dunia kerana terlibat dalam kemalangan ketika mahu menghantar anak bongsunya, Nurul Shuhada, 11 ke sekolah.
Anak perempuan mangsa Nurul Aida Osman berkata dia menerima berita kemalangan ibunya itu kira-kira jam 8 pagi selepas bapanya Osman Ibrahim, 50 menghubungi suaminya Mazrulnizam Zainal, 27.
Nurul Aida yang tidak percaya dengan berita yang mengatakan ibunya sudah meninggal dunia segera mengajak suaminya pulang ke rumah ibu bapanya dan sempat bertemu adiknya yang sedang dirawat di Klinik Kesihatan Labis.
Sudah menjadi rutin harian Rosni menghantar anak bongsunya ke Sekolah Kebangsaan (SK) Labis sebelum pergi bekerja bersama suaminya sebagai pemandu lori sawit.
Menurul Nurul Aida yang merupakan anak kedua berkata, kali terakhir berjumpa ibunya di Pekan Labis pada petang kelmari ibunya itu ada berseloroh mengenai kematian namun dia tidak dapat menangkap tanda-tanda yang diberikan ibunya itu kerana menganggap ibunya itu suka bergurau.
“Emak cakap, masa hidup lah kita nak bergurau, nanti dah mati tak boleh bergurau.
“Ketika itu saya tidak fikir apa-apa kerana emak memang suka bergurau dan hari ini (semalam) apabila teringatkan gurauan itu, terus hati saya sebak,” katanya.
Baru-baru ini mereka sempat berkumpul kesemua adik beradik bersama ibu mereka di Johor Bahru kerana mahu bertemu cucu kedua yang baru dilahirkan.
Namun mangsa tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda atau perubahan sikap yang ketara.
Nurul Aida berkata dia mahu berbincang dengan suami untuk tinggal di rumah bapanya kerana mahu menjaga adik bongsunya itu kerana adik beradik yang lain bekerja dan tinggal di luar daerah. Hanya dia dan suami yang tinggal berhampiran.
Ketua Polis Daerah Segamat, Supritendan Raub Selamat berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.30 pagi semalam berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai bergesel dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di KM4 Jalan Muar-Labis berhampiran Perumahan Awam Labis.
Kenderaan pacuan empat roda berkenaan cuba untuk memotong motosikal mangsa namun bergesel sehingga menyebabkan kereta tersebut hilang kawalan kemudian melanggar tepi motosikal sebelum melanggar lori yang membawa muatan ayam sejuk beku di laluan bertentangan dan semua kenderaan yang terlibat kemudian terbabas sehingga ke bahu jalan. Sumber:Sinar Harian , Editor:Anna
loading...
loading...
0 Response to "Hasrat Seorang Ibu Untuk Bercuti Bersama Ahli Keluarga Tidak Kesampaian"
Catat Ulasan