loading...
Roman Abramovich yang berbangsa Rusia-Yahudi dan juga pemilik kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris, Chelsea disahkan telah berjaya mendapat kewarganegaraan Israel, mengikut laporan media antarabangsa.
Kejayaan Abramovich menjadi warga negara penuh kontroversi itu sekaligus meletakkannya sebagai orang terkaya di Israel. Menurut laporan Forbes, Abramovich yang berusia 51 tahun itu mempunyai aset bernilai US$ 11.5 bilion.
Abramovich sebelum ini menghadapi masalah untuk memperbaharui visanya di United Kingdom (UK) gara-gara pihak berkuasa negara itu meragui penjelasan yang dibuatnya mengenai kekayaan yang dimiliki.
Selain itu, kelewatan dokumen visa itu diproses juga dikatakan berpunca daripada hubungan keruh antara kerajaan Britain dengan Rusia berhubung isu cubaan bunuh bekas perisik Rusia, Sergei Skripal di UK baru-baru ini.
Abramovich yang menjadi pemilik Chelsea sejak tahun 2003, dilihat tidak berada di stadium ketika kelabnya menguburkan hasrat Mancherster United untuk mendakap sekurang-kurangnya satu trofi musim ini ketika perlawanan akhir Piala FA awal bulan lalu.
Sebaliknya kelibat Abramovich dilihat berada di Kedutaan Israel di Moscow setelah menghadiri temu duga sebelum diberi kerakyatan oleh Israel.
''Dokumennya di periksa di bawah ''Undang-undang Kembali'' dan diberi status sebagai imigran di Israel. Dengan status imigran, dia boleh memohon visa,'' kata jurucakap salah sebuah jabatan kerajaan di Israel yang menguruskan hal ehwal komuniti Yahudi ketika era Soviet Union.
Mengikut Undang-undang Kembali, setiap orang Yahudi, atau anak atau cucu orang Yahudi mempunyai hak untuk menjadi warganegara Israel.
Dengan pemerolehan pasport itu, Abramovich boleh kembali ke UK selama 6 bulan, namun dia tidak dibenarkan bekerja di sana tanpa permit kerja.
Abramovich yang kerap melawat Israel sebelum ini dilaporkan telah membeli sebuah hotel di Tel Aviv yang berdekatan dengan pantai Mediterranean pada tahun 2015, yang mana turut membantu dalam pemerolehan taraf kerakyatan tersebut.
Sebagai rakyat baru Israel, Abramovich dikecualikan daripada membayar cukai hasil perniagaannya di luar Israel selama 10 tahun.
Sumber : CGTN
loading...
loading...
0 Response to "Roman Abramovich, Taikun Rusia Dan Pemilik Kelab Bola Sepak Chelsea Kini Bergelar Rakyat Israel"
Catat Ulasan