SinarHairan

Rusuhan kuil: 14 lagi direman, tiga disambung reman

loading...
PETALING JAYA: Mahkamah Majistret di sini mengeluarkan perintah reman antara satu dan empat hari terhadap 14 lagi individu bagi membantu siasatan berhubung kes rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, Isnin minggu lalu.

Majistret Mohd Ikhwan Mohd Nasir mengeluarkan perintah reman tersebut hari ini, menurut laporan Bernama.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 435 (khianat dengan api), Seksyen 148 (merusuh), Seksyen 427 (melakukan khianat) dan Seksyen 447 (pencerobohan jenayah) Kanun Keseksaan.

Mohd Ikhwan juga melanjutkan tempoh reman antara satu dan enam hari terhadap tiga suspek bagi membantu siasatan kes sama.

Kesemua suspek yang berusia 18 hingga 40 tahun itu dibawa ke Mahkamah Majistret di sini dengan memakai baju lokap berwarna ungu dan jingga.

Pada Selasa, empat individu termasuk seorang pegawai keselamatan syarikat pemaju, One City Development Sdn Bhd (One City), yang didakwa terbabit dalam insiden itu, mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas pertuduhan merusuh dengan menggunakan senjata berbahaya.

Sementara itu, dua lagi lelaki yang terlibat dalam insiden sama masing-masing dijatuhi hukuman penjara dua bulan dan denda RM5,000 atas tiga pertuduhan gagal mematuhi arahan bersurai, mengabaikan perintah polis yang menyelia lalu lintas di sekitar kawasan kuil dan gagal mengemukakan kad pengenalan diri.

Bernama melaporkan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, jumlah mereka yang ditahan berhubung insiden rusuhan itu meningkat kepada 99 orang setakat 9 pagi tadi.

loading...
loading...

0 Response to "Rusuhan kuil: 14 lagi direman, tiga disambung reman"

Catat Ulasan