loading...
Memasuki hari keenam penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan wabak COVID-19, semakin ramai pihak dan individu tampil memberi nasihat serta peringatan kepada orang ramai agar kekal berada di rumah.
Antaranya selebriti tempatan, ahli sukan, ahli perniagaan dan ramai lagi, namun tidak ketinggalan dan menarik perhatian ramai adalah gelagat seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang tampil memberi nasihat serta 'menyekolahkan' mereka yang masih ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan itu.Reaksi 'garang' dan comel yang dipertontonkan kanak-kanak berkenaan dalam sebuah video berdurasi tiga minit 19 saat itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen sehingga ada yang menyatakan 'budak enam tahun lebih pandai dan faham arahan pihak berkuasa'.
Amanda Wanda Bell atau lebih dikenali sebagai Wanda Bell memarahi orang ramai "yang masih degil dan pura-pura tidak faham bahasa kerana enggan patuh arahan untuk kekal di rumah sahaja".
"Sekarang ini masih lagi ada orang keras kepala...tidak pandai dengar...Wanda cakap ada Corona Virus tidak pandai faham...nanti dorang (mereka) tidak faham takut dorang kena (Corona Virus) dan pergi berjalan-jalan pula. Wanda bagi nasihat di sini (Facebook) sebab Wanda pun duduk rumah.
"Besar (dewasa) sudah dorang tapi balik-balik lagi mahu cakap. Wanda tidak marah bah ini aunty (mak cik)... tapi Wanda tidak mahu orang sakit. Nanti dorang bagi jangkit (Corona Virus) pada Wanda dan orang lain. Dorang (mereka) tidak boleh merayau-rayau," katanya kepada Bernama.
Video Wanda Bell yang dimuat naik di laman Facebook kanak-kanak itu @Wandabell mendapat 29,000 tontonan dan 810 perkongsian.
Dalam video berkenaan, kanak-kanak berasal dari Keningau, Sabah itu turut menzahirkan rasa simpati kepada warga hospital yang bekerja siang dan malam semata-mata untuk berkhidmat untuk rakyat.
"Jangan kamu keras kepala bah... kamu tidak takutkah kena tangkap polis? Pegi (pergi) jalan-jalan ada Corona Virus, kamu sakit lagi. Jadi siapa yang susah? Itu doktor yang susah. Aunty-aunty, uncle-uncle, susah bah tu. Penat dorang (mereka) mahu buat (kerja) ini semua.
"Just stay at home. Dia (kerajaan) bilang duduk diam-diam di rumah. Kamu faham ka apa dia cakap? Just stay at home... ingat jangan jalan-jalan... Boleh jalan-jalan tapi di belakang rumah, di depan rumah, main basikal ka di bilik ka tapi di rumah sahaja," katanya dengan telatah dan loghat Sabahnya yang mencuit hati.
Kebanyakan warganet kagum dan memuji kepetahan kanak-kanak ini memberikan nasihat kepada orang awam malah rata-rata meninggalkan komen yang positif.
"Naa...Adik kecil ini lagi pandai berfikir...dengar kamu yang degil-degil yang tidak dengar cakap... terbaik Wanda," kata Alice Tan.
"Pandai lagi adik Wanda ini...dengar tu," kata Juliet Tijun.
"Comelnya awak dik...sudahlah comel...pandai bercakap pula tu...bagus adik Wanda...Jaga diri adik," kata Mas Ayu Junoh pula.
Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mencapai kadar pematuhan 92 peratus pada Isnin.
"Walaupun hanya lapan peratus, tetapi masih lagi ada dalam kalangan rakyat yang keluar rumah dan gagal mematuhi larangan yang dikeluarkan kerajaan," katanya.
-- BERNAMA
loading...
loading...
0 Response to "Perintah Kawalan Pergerakan: Amanda Wanda Bell tampil nasihat orang ramai"
Catat Ulasan