SinarHairan

#COOL ~ Lizzie Terasa Lucu Gambar Kena Cantum

loading...

PENAMPILANNYA sering menjadi ‘bahan’ kepada warganet untuk meninggalkan komen di akaun Instagram miliknya.

 Malah, ada yang menganggap foto yang dimuat naik penyanyi dan pelakon Elizabeth Tan keterlaluan kerana kelihatan seksi atau menggoda.

 Menolak segala tanggapan khalayak, Elizabeth turut menegaskan imej yang dipaparkan bukan juga untuk ‘mengumpan’ lelaki. Elizabeth yang selesa dipanggil Lizzie berkata, selagi ibunya tidak menegur cara berpakaian dalam foto dikongsi di IG, dia tidak akan menganggap ia keterlaluan.

 “Jika pakaian saya terlalu seksi dan mengundang kontroversi, saya yakin ibu menjadi orang pertama menegur dan meminta saya menukarnya.
 “Lagipun, apa salahnya berpakaian mengikut cita rasa kerana saya masih muda.


“Saya bukan berpakaian terlalu seksi seperti bintang K-pop yang mengenakan baju singkat. Saya tidak akan memuat naik foto jika berpakaian begitu. 
 “Saya hanya muat naik foto yang disukai peminat. Lagi pun, tak salah untuk berkongsi asalkan tidak mengundang perkara buruk,” katanya. 

 Tidak dinafikan setiap kali Lizzie memuat naik foto berimej seksi, wanita berusia 27 tahun itu sering menerima komen ‘tidak senonoh’ daripada pengikut lelaki di laman sosial.

 Menafikan dirinya ‘simbol seks’, Lizzie berkata, banyak akaun lain boleh dijadikan rujukan, bukan IG miliknya saja.

 “Kalau tidak membelek akaun saya, mereka boleh juga akses benda lain.
 “Setakat ini, saya tidak pernah rasa terancam dengan membaca komen ditinggalkan pada foto saya. Jika ada yang dilihat terlalu keterlaluan, saya akan padam dan sekat,” katanya. 

 Tambah Lizzie, dia juga tidak pernah menerima sebarang foto tidak senonoh daripada pengikut seperti sesetengah selebriti lain.

 “Kebiasaannya, saya akan baca komen, tapi kalau mesej itu terlalu peribadi biasanya pembantu saya yang akan memantau. Namun, setakat ini tiada gambar tidak senonoh dihantar. 
 “Cuma, kebanyakannya wajah saya disunting dan dicantumkan dengan badan wanita yang seksi. Bagi saya, itu okey asalkan tidak keterlaluan. 
 “Saya lihat pada foto itu wajah saya, tetapi badan orang lain. Saya tidak rasa apa-apa, cuma kelakar kerana terang-terangan gambar itu bukan saya,” katanya. 

 Mengakui membaca setiap komen, Lizzie tiada masalah untuk mohon maaf sekiranya fotonya tidak disukai.

 Lizzie tampil pertaruh filem Escape 

 Siapa sangka, Lizzie yang terkenal dengan seleksi lagu yang menghiburkan turut bergiat aktif dalam bidang lakonan.

 Terbaru, pelantun lagu SHH itu bakal muncul dengan filem terbaru berjudul Escape, akhir bulan ini.

 Menceritakan pengalaman membintangi filem itu, Lizzie berkata, tidak banyak yang mampu diceritakan kerana bimbang akan menjejaskan keseluruhan filem.

 Katanya, dia bagaimanapun teruja sepanjang membintangi filem terbabit kerana karya itu antara tawaran terawal yang diperoleh di awal kemunculannya dalam industri seni.

 “Saya tak boleh nak cerita lagi watak saya dalam filem ini kerana bimbang akan merosakkan filem itu nanti apabila anda sudah dapat meneka watak saya. 
 “Bagaimanapun, saya seronok bekerja dalam filem ini dengan bimbingan pengarah Ikhwansha Hazer serta barisan pelakon hebat lain seperti Kamal Adli dan Amar Asyraf yang menjadi kekasih saya dalam filem ini. 
 “Satu pengalaman yang manis kerana perbelanjaan untuk filem ini tidak terlalu tinggi, tapi kami masing-masing sebagai pelakon sedaya upaya memberi yang terbaik. Apatah lagi, saya kira genre diketengahkan filem ini baru di persada industri seni tanah air,” katanya. 

 Tambah Lizzie, dalam filem Escape ini penonton akan disajikan dengan konsep ‘plot twist’ dan ‘unexpecting incident’ pada setiap babak.

 “Ia sebuah filem genre ‘cerebral thriller’. Penonton akan berdebar menantikan setiap babak. Filem ini mengambil masa dua tahun untuk disiapkan,” katanya. 

 Menurut Lizzie, dia meminati kerjaya lakonan berbanding nyanyian, namun rezeki menyanyi kini lebih mencurah.

 “Saya juga tak sangka kerjaya nyanyian mendapat sambutan baik sehingga hari ini. Apapun, saya akui lebih berminat dengan lakonan.

 “Lakonan memberikan saya satu kepuasan yang berbeza dan saya tertunggu-tunggu tawaran watak yang mencabar. 
 “Tahun ini, kalau dapat tawaran watak antagonis memang saya akan terima kerana percaya mampu melakonkan karakter berkenaan dengan baik,”. Katanya. 

 -myMetro
loading...
loading...

0 Response to "#COOL ~ Lizzie Terasa Lucu Gambar Kena Cantum"

Catat Ulasan