loading...
Kerjaya lakonan menjadi mata pencarian Hamidah Wahab sejak zaman muda, masih aktif berlakon.
Minatnya terhadap dunia lakonan tidak pernah pudar, biarpun sudah empat dekad bergelar anak seni.
"Kerjaya lakonan menjadi mata pencarian saya, selama ini. Tidak timbul soal nak bersara atau sebaliknya, itu semua kerja Allah SWT. Selagi tak mendatangkan mudarat dan melanggar undang-undang, saya akan meneruskan minat dan kecintaan ini.
"Saya berlakon tak berhenti sejak zaman muda. Ada kala, hanya sempat berehat seminggu dua, sudah kembali bekerja. Itulah yang menyeronokkan, saya melakukannya demi minat, bukan mengejar kesenangan.
"Apabila dapat panggilan wartawan, hati sangat seronok. Saya hanya mengenali wartawan generasi lama. Ada antaranya sudah bersara dan meninggal dunia. Saya tak sangka masih mendapat perhatian wartawan generasi hari ini yang mahu membantu memberi publisiti," katanya kepada BH Online.
Hamidah berkata, ada ketika dirinya pernah dikatakan sudah tidak mahu berlakon. "Hakikatnya, tidak sesekali.
Bagaimanapun, enam tahun juga saya menghilangkan diri daripada radar dunia lakonan. Masa itu, rasa kecewa dan dilupakan, tetapi itu biasalah.
Saya enggan terus larut dengan perasaan tidak ketentuan. Saya percaya rezeki Allah sangat luas.
"Saya beroleh rezeki berlakon semula, tahun lalu. Pengarah, Along Kamaruddin antara yang bertanyakan sama ada saya masih berlakon atau tidak. Saya balas, tak pernah rasa nak berhenti berlakon lagi.
"Daripada situ, saya dapat berlakon dengannya. Lepas itu, penerbit dan pengarah mula memanggil saya semula. Pengarah seperti Shahrulezad Mohameddin, Rashid Sibir dan Michael Ang antara yang tak lupa menawarkan saya kerja lakonan," kata ibu kepada tiga cahaya mata itu.
Anak ketiga daripada 12 beradik itu berkata, dia akan terbabit dengan telefilem Tanah Kubur arahan Rashid dan sebuah drama arahan Michael, tak lama lagi.
"Saya tahu, jenama Tanah Kubur dan saya cukup sinonim. Rashid tak melupakan saya. Insya-Allah, penggambaran akan bermula 9 Julai ini, manakala drama arahan Michael pula dijangka bermula 13 Julai," katanya yang membintangi filem Gila Gila arahan Omar Rojik pada 1979 yang juga filem pertama lakonannya.
-BH Online
loading...
loading...
0 Response to "#KINI KEMBALI ~ Enam tahun Hamidah Wahab hilang, dilupakan"
Catat Ulasan