loading...
Tindakan terkutuk seorang mekanik merogol seorang gadis lembam yang dalam perjalanan pulang selepas mengaji membawa padah apabila dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan enam sebatan di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.Hakim Nazri Ismail menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Mohamad Faizal Adlan Husin, 24, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mahkamah memerintahkan hukuman berjalan dari tarikh tertuduh ditangkap pada 20 November 2016.
Mengikut pertuduhan, Mohamad Faizal didakwa merogol mangsa berusia 23 tahun di dalam bengkel motosikal di Kampung Permatang Pasir, Bachok pada jam 8.30 malam, Julai 2016.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2)(k) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, sebelum kejadian mangsa berjalan pulang ke rumahnya selepas selesai belajar mengaji al-Quran di rumah ibu saudaranya di kampung sama.
Apabila tiba di hadapan sebuah bengkel motosikal, seorang lelaki yang dikenali sebagai Pok Su (tertuduh) menarik mangsa dengan kasar dan menutup mulutnya dengan kain tudung mangsa serta mengangkatnya masuk ke kedai sebelum merogolnya.
Tertuduh kemudian mengugut mangsa supaya tidak menceritakan kepada sesiapa sebelum wanita itu pulang ke rumah tanpa memaklumkan kejadian itu kepada keluarganya.
Pada 18 November 2016 mangsa dibawa keluarganya ke sebuah klinik untuk pemeriksaan kerana perutnya sakit dan hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengandung.
Siasatan yang dijalankan, mangsa menyatakan Pok Su merogolnya. Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Azlinawati Mohd Arshad memohon hukuman setimpal kerana mangsa dalam kejadian ini seorang orang kurang upaya (OKU).
“Kerana kekurangan mangsa, tertuduh mengambil kesempatan terhadapnya mengakibatkan mangsa masih trauma dengan kejadian itu,” katanya.
loading...
loading...
0 Response to "Lelaki Terima Padah, Rogol Gadis OKU Hingga Hamil."
Catat Ulasan