SinarHairan

‘Abang Nak Pinjam Umi RM20 Nak Baiki Motosikal Ayah’

loading...

BESUT – “Umi, abang long nak pinjam RM20. Nak baiki lampu motosikal ni. Dah elok nanti senang ayah guna motosikal ni nak pergi solat tarawih”.


Itu kata-kata terakhir Muhammad Hafizzudin Che Mat, 21, abang sulung kepada dua beradik yang maut selepas motosikal yang ditunggang dirempuh kenderaan pacuan empat roda di jalan Kampung Raja-Tembila, Ahad lepas.
Ibu mangsa, Zabedah Hamzah, 53, ketika dihubungi Bernama berkata, anak sulungnya itu memang seorang anak ‘syurga’ kerana mempunyai peribadi yang boleh dibanggakan selain seorang yang bertanggungjawab dan sering menggembirakan ibu bapa serta adik-adiknya.
“Abang long dan adik anak yang baik, tak pernah sakitkan hati umi. Umi halalkan makan minum anak-anak umi dan semoga kedua-dua anak umi ditempatkan di jannah,” luah Zabedah sayu.
Dalam kemalangan pukul 6 petang itu, Muhammad Hafizzuddin, penuntut Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) meninggal dunia di tempat kejadian manakala adiknya, Muhammad Hussaini, 17, meninggal dunia pada 3.20 pagi semalam di Hospital Besut.
Kedua-dua jenazah selamat dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Gong Bayor Besut, tengah hari semalam.
Zabedah yang juga seorang guru berkata kehilangan dua anak lelaki sekali gus agak berat untuk diterima namun beliau reda dan menganggap ia satu ujian buat mereka sekeluarga.
“Cuma umi mungkin akan teringatkan segala persiapan untuk sambut Hari Raya yang sudah siap dibeli oleh abang long. Tak tahulah nak hadapi Hari Raya nanti macam mana tanpa mereka berdua,” katanya sebak.
Katanya, pada hari kejadian anaknya meminta kebenaran daripadanya untuk ke kedai membaiki motosikal jenis Modenas Kris kerana lampunya rosak.
“Motosikal itu dibeli sendiri olehnya menggunakan duit ketika berniaga di USIM untuk memudahkan ayahnya menunaikan solat tarawih.
“Umi tak sangka, selepas abang long mengajak adiknya ikut sekali ke kedai berkenaan mereka ditimpa kemalangan dan tidak kembali lagi,” katanya.
Sementara itu, bapa mangsa, Che Mat Hamid, 55, seorang bekas tentera berkata anak sulungnya itu mengikuti kursus pengajian al-Quran dan Sunnah di USIM serta balik ke rumah untuk menyambut puasa Jumaat lepas.
Menurutnya, kedua-dua anaknya itu memang periang orangnya dan aktif dalam pelajaran dan sukan serta menjadi wakil sekolah dalam pelbagai program.
“Kami amat terkejut dengan pemergian kedua-dua mereka kerana sebelum kejadian abang long terutamanya tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda pelik sebelum kejadian malah kelihatan gembira dan riang bertemu adik-beradiknya.
“Bagaimanapun, ia satu kejadian yang telah tertulis, kami reda dengan pemergian mereka,” katanya. – BERNAMA
loading...
loading...

0 Response to "‘Abang Nak Pinjam Umi RM20 Nak Baiki Motosikal Ayah’"

Catat Ulasan