loading...
Tindakan Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa yang memberi amaran kepada mana-mana bekas pemainnya supaya tidak lagi 'bising' di laman media sosial mengenai tunggakan gaji ditempelak Persekutuan Pemain Bola Sepak Profesional Antarabangsa (FIFPro).Persatuan antarabangsa itu nyata tidak berpuas hati dengan layanan diberikan KAFA yang masih belum menyelesaikan tunggakan gaji bekas pemain importnya, Jonathan McKain, sebaliknya ghairah menandatangani pemain import baharu.
Menerusi akaun Twitter rasminya, FIFPro juga dilihat berang selepas Annuar mendesak mana-mana pihak yang tidak pernah menguruskan pasukan bola sepak profesional supaya menutup mulut dan tidak membahaskan isu terbabit.
"Ini adalah contoh terbaik oleh sesebuah pasukan melayan pemain mereka yang juga adalah pekerja mereka - seperti sampah yang tidak berharga.
"Ini adalah satu skandal," kata FIFPro menerusi akaun Twitter rasminya, hari ini.
Nada sama turut dilontarkan Ketua Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat FIFPro, Andrew Orsatti yang mahukan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil tindakan terhadap ugutan yang dibuat KAFA kepada bekas pemainnya.
"Mengugut pemain yang menegakkan haknya mengenai tunggakan gaji? Apa yang akan FAM lakukan atas tindakan ini?," katanya menerusi akaun Twitter peribadinya (AndrewOrsatti).
Annuar sebelum ini menyatakan pihaknya sudah lama bersabar dengan tindakan bekas pemainnya yang sering membawa hal tunggakan gaji di laman media sosial sehingga ia dilihat memalukan persatuan bola sepak terbabit.
Annuar turut menyatakan bahawa tindakan mengeluarkan kenyataan yang tidak tepat mengenai pasukan adalah satu pelanggaran kontrak.
"Kepada bekas pemain yang suka main Facebook/Twitter, kami sudah bertolak ansur dengan perangai anda yang tidak sepatutnya. Mengeluarkan kenyataan yang tidak tepat mengenai pasukan adalah satu pelanggaran kontrak.
"Sekiranya itu tidak dihormati, pasukan juga berhak untuk tidak bersimpati terhadap kamu," katanya menerusi akaun Facebooknya, minggu lalu. - Berita Harian Online
loading...
loading...
0 Response to "FIFPro Mahu FAM Ambil Tindakan Terhadap Ugutan Annuar Musa."
Catat Ulasan