SinarHairan

#IMPIAN ~ Ruzana Ibrahim mahu lebih versatil

loading...
Ruzana Ibrahim 

LAKONANYA yang berkesan sebagai Hanani dalam drama bersiri popular, Isteri Tuan Ehsan yang disiarkan baru-baru ini, membuatkan nama Ruzana Ibrahim semakin menjadi sebutan.

Malah sehingga kini, gelaran 'nyonya' merujuk watak tersebut juga masih melekat meskipun drama itu sudah pun berakhir.

 Menyifatkan perhatian yang diberikan penonton terhadap watak itu sebagai suatu maklum balas positif, Ruzana mahu lebih berani dalam mempelbagaikan wataknya pada masa depan.

 “Saya sebolehnya cuba mengelak untuk menerima watak yang lebih kurang sama kerana sejak dari dulu lagi, saya sentiasa mahukan pelbagai watak dalam usaha memberikan sesuatu yang berbeza buat penonton.

 “Kerap kali juga saya diberikan watak antagonis, tetapi setiap karakternya berbeza dan memerlukan saya sentiasa tampil dengan sesuatu yang baru di mana situasi inilah memberi cabaran kepada saya untuk gunakan skill lakonan yang ada,” ujarnya yang turut aktif berlakon teater.

 Terbaru pelakon tinggi lampai ini, muncul dengan filem kedua lakonannya, Kanang Anak Langkau; The Iban Warrior yang bakal ditayangkan pada 16 Mac depan.

Menariknya, menerusi filem arahan Bade Hj Azmi ini, Ruzana memegang watak sebagai komunis.

 “Sekali lagi, saya diberikan watak antagonis, kali ini sebagai komunis yang menampilkan karakter sangat keras dan bengis.

 “Bukan mudah untuk membawa watak ini dan jujurnya ia sangat mencabar saya sebagai seorang pelakon iaitu perlu bekerja keras untuk menghidupkan karakter yang sangat-sangat asing buat saya,” akuinya.

 Menurut Ruzana, pada mulanya ada yang sangsi kemampuannya membawakan watak itu, apatah lagi penampilannya agak feminin, justeru dia tekad membuktikan dirinya cukup serius dengan setiap watak dan peranan yang diberikan.

 “Sebelum penggambaran dimulakan, semua pelakon yang terlibat dengan babak aksi pertempuran dalam filem ini dimestikan menyertai latihan intensif ketenteraan selama seminggu di Kem Tentera Ipoh dan saya tidak terkecuali untuk terlibat dalam semua aktiviti itu sama dengan pelakon lelaki yang lain.

 “Walaupun secara luarannya saya nampak seperti ‘wanita Melayu terakhir’.

 "Namun saya sebenarnya sangat sukakan aktiviti lasak dan watak aksi ini memberi peluang terbaik untuk saya menonjolkan sisi itu.

 “Antara babak yang saya tidak dapat lupakan dalam filem ini tentunya babak pertempuran yang memerlukan saya berlari turun bukit di dalam hutan sambil menggalas segala kelengkapan perang berserta senapang yang cukup berat,” imbasnya lebih sebulan berada di hutan tanpa kemudahan asas.

 Gemar aktiviti lasak Mengakui tidak suka mengambil mudah dalam setiap tugasan diberikan, Ruzana yang berdarah campuran Cina ini, sanggup melakukan lebih usaha untuk memastikan hasil terbaik.

 “Jujurnya saya tidak suka sambil lewa dalam kerja.

Apa sahaja tugasan yang diberikan, saya cuba lakukan sebaik mungkin, bukan semata-mata untuk penuhi kehendak pengarah tetapi untuk kepuasan diri sendiri yang akan rasa seronok bila melihat hasil kerja kita itu nampak cantik.

 “Misalnya dalam filem ini, saya dikehendaki bertutur dalam bahasa Mandarin, namun saya hanya tahu perkara itu ketika mahu memulakan penggambaran, membuatkan saya kekurangan masa untuk praktis dan mempersiapkan diri.

 “Namun saya tidak jadikan itu sebagai alasan untuk ambil mudah, sebaliknya berusaha mempelajari bahasa itu dengan bertanyakan rakan-rakan berbanga Cina.

 "Di lokasi, menghafal dan mengetahui maksud perkataan yang disebut dengan sebaiknya agar pertuturan saya itu nampak natural,” kata pelakon yang cukup versatil ini.

 Dalam perkembangan lain, anak kelahiran Kuala Lumpur ini aktif dalam pengacaraan dan baru sahaja selesai menjalani program 13 episod, Xtrem Pesona yang bakal disiarkan di RTM.[SH]
loading...
loading...

0 Response to "#IMPIAN ~ Ruzana Ibrahim mahu lebih versatil"

Catat Ulasan