SinarHairan

Masalah Meroyan! Suami Patut Ambil Serius Tentang Perkara Ini

loading...


BERPANTANG selepas melahirkan anak kedua kali ini memberi tekanan emosi kepada Hanum (bukan nama sebenar) jika dibandingkan dengan kelahiran anak pertamanya apabila dia membuat keputusan untuk berpantang sendiri tanpa bantuan orang lain.

Hanum fikir, dia tidak mahu menyusahkan ibunya di kampung dengan berpantang sendirian tambahan merasakan sudah mempunyai pengalaman melahir anak sebelum ini.

Namun, fikirannya mula terganggu apabila penat menguasai badannya dalam menjaga bayi yang baru lahir dan anak pertamanya yang masih kecil. Bayinya kali ini berbeza dengan kakaknya, lebih meragam di waktu malam membuatkan Hanum kepenatan. Bila susu badannya berkurangan, tekanan semakin bertambah buat dirinya dan berasa tidak berguna kepada keluarganya.


Hanum mula kemurungan, menangis ketika menyusukan anak malah ada ketika dibiarkan anaknya menangis tanpa berusaha menenangkannya. Dia juga mula rasa tidak disayangi suaminya dan kesunyian akibat berpantang sendiri.

Mujur suaminya cepat menyedari perubahan sifat Hanum yang kemurungan dan tidak ceria seperti biasa. Apabila dibawa berjumpa doktor, doktor mengesahkan yang Hanum mengalami simptom kemurungan lepas bersalin (pospartum depression) dan jika tidak dikawal boleh menyebabkan psikosis lepas bersalin (postpartum psychosis) atau lebih dikenali sebagai meroyan.

Masalah yang dihidapi Hanum bukanlah kes terpencil malah ramai sebenarnya ibu yang mengalami masalah kemurungan selepas bersalin sama ada mendapatkan bantuan pakar atau tidak. Dia beruntung kerana orang yang paling rapat dengannya iaitu suaminya menyedari kelainan pada Hanum dan segera mendapatkan bantuan pakar.

Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan berita seorang wanita yang dipercayai mengelar bayinya sehingga mati setelah mendengar ‘bisikan’ untuk melakukan perbuatan tersebut. Begitu juga berita sebelum ini yang mana seorang wanita membunuh diri kerana dikatakan tidak berjaya menyusukan anaknya.

Menurut Pakar Perunding Psikiatri, Jabatan Perubatan Psikologi Universiti Malaya, Profesor Madya Dr. Muhammad Muhsin Ahmad Zahari, psikosis selepas bersalin atau royan berlaku kepada satu hingga dua orang setiap 1,000 orang wanita yang baru bersalin.

“Gangguan mental selepas bersalin terbahagi kepada tiga kategori iaitu maternal blues (murung bayi), kemurungan selepas bersalin dan psikosis selepas bersalin.

“Walaupun peratusan meroyan berakhir dengan tragedi adalah rendah, namun perlu diberi perhatian serius dengan menyegerakan rawatan supaya dapat mengelakkan perkara ini berlarutan.

“Orang yang rapat dengan individu tersebut seperti keluarga terutamanya suami seharusnya lebih peka dan ambil berat akan perubahan yang berlaku terhadap ibu yang baru bersalin. Simptomnya agak jelas seperti emosi tidak stabil, tidur terganggu, percakapan tidak seperti biasa dan lebih sensitif daripada kebiasaan.

“Malah, perlu ingat setiap kelahiran adalah berbeza, jika sebelum ini wanita tersebut tidak mengalami gangguan mental selepas bersalin ia tidak terkecuali untuk menghidapinya untuk kelahiran seterusnya,” ujar Dr. Muhammad Muhsin.

Selain itu, para suami perlu lebih bertanggungjawab dengan membantu isteri yang baru lepas bersalin bagi mengurangkan bebanan mereka. Konsep lepas tangan dan urusan rumah tangga hanya dipertanggungjawabkan ke atas wanita perlu ditepis.

Tambahnya, selain ahli keluarga yang rapat dengan pesakit, tanggungjawab untuk mengenal pasti mereka yang mengalami gangguan mental selepas bersalin boleh digalas oleh jururawat dan doktor yang merawat mereka selepas bersalin.

Sumber: Utusan Malaysia
loading...
loading...

0 Response to "Masalah Meroyan! Suami Patut Ambil Serius Tentang Perkara Ini"

Catat Ulasan