SinarHairan

Saya Nak Memancing Selepas Pilihan Raya - Adenan

loading...

KUCHING: Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem ingin melakukan satu perkara selepas mengharungi kesibukan pilihan raya Sarawak nanti – pergi memancing, terutama di tempat yang beliau masih boleh nampak pantai.

Adenan berkata beliau adalah peminat program ‘National Geographic’ dan mencintai alam semula jadi serta “tempat sunyi”.

“Selepas pilihan raya nanti, saya merancang untuk pergi memancing. Bukan memancing di laut dalam, tetapi di tempat yang saya boleh nampak daratan kerana saya rasa selesa sekiranya masih boleh nampak daratan. Sekiranya saya tidak nampak daratan, tetapi hanya langit biru, mungkin saya akan rasa takut,” katanya dalam temu bual dengan Bernama TV di sini hari ini.

Adenan mempamerkan sikap santainya apabila beliau bercakap tentang perkara yang beliau suka dan tidak suka serta dietnya.

“Saya makan ikan dan sayur-sayuran, sedikit daging dan mengelak gula serta makanan berminyak. Saya kerap juga bersenam, tapi apabila dah semakin berusia, semakin kurang saya melakukannya,” kata beliau dengan diiringi ketawa.

Pemimpin berusia 72 tahun ini tidur kira-kira enam jam sehari dan menghabiskan sebahagian besar masa beliau dengan bekerja.

“Pada waktu bekerja, saya laksanakan tugas saya, termasuk menghadiri mesyuarat. Saya mementingkan ketepatan masa dan merancang apa yang hendak saya lakukan.

Seluruh kehidupan saya bertumpu tentang kerja, jadi, bekerja bukanlah sesuatu yang asing bagi saya,” katanya.

Menjelaskan tentang cara beliau menangani jadual ketat semasa tempoh berkempen, Adenan berkata pengurusan masa sangat penting.

“Saya juga mencari masa untuk berehat kerana seseorang itu tidak boleh bekerja sepanjang masa. Bekerja sahaja, tanpa bermain, boleh menimbulkan

kebosanan kepada seseorang,” katanya sambil senyum lebar.

Adenan, yang terkenal kerana kegemarannya menyanyikan lagu Cliff Richard ‘The Young Ones’ dan lagu Elvis Presley, ‘Can’t Help Falling In Love’ semasa berkempen, berkata beliau suka menyanyi ketika remaja lagi dan malah mempunyai sebuah kumpulan muzik digelar ‘Vagabond’.

“Kami ada sesi jam (latihan), kami main di konsert dan Radio Sarawak ketika itu. Saya bukan setakat menyanyi di khalayak ramai, malah di bilik air juga,” kata Adenan sambil ketawa.

Beliau juga meminati bola sepak dan merupakan penyokong Team Malaysia serta Manchester United.

Adenan amat yakin bahawa bekerja secara berpasukan akan memberi kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri ke-11, 7 Mei ini.

“Saya tidak fikir Mokhtar Dahari boleh menjaringkan banyak gol sekiranya tidak ada James Wong, Hassan Sani, Santokh Singh atau Soh Chin Aun.

“Sekiranya anda mahu saya terus menjadi ketua menteri, maka anda perlulah memberi undi kepada mereka daripada pasukan saya kerana saya tidak dapat melakukannya seorang diri,” katanya. - Bernama
loading...
loading...

0 Response to "Saya Nak Memancing Selepas Pilihan Raya - Adenan"

Catat Ulasan