SinarHairan

#PRIHATIN ~ Remy Ishak sayu, tak fikir pasal raya

loading...
Peluang mendekati masyarakat dalam program Origina Sharity Bersama Remy Ishak membuka mata pelakon ini terhadap realiti dan kepayahan hidup golongan memerlukan. Foto Ihsan Remy Ishak

 KUALA LUMPUR: Turun padang menghulurkan pek makanan kepada golongan memerlukan, Remy Ishak sayu melihat nasib mereka yang terkesan akibat penularan COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

 Kongsi Remy, pengalaman menyertai program amal anjuran Origina berbeza daripada yang pernah dilakukan sebelum ini.

 "Bukan saya tak pernah sertai program amal tetapi kali ini, aktiviti dihadiri memberi impak emosi berbeza... Rasa sedihnya lebih mendalam," katanya kepada BH Online. 

 Menceritakan pengalamannya, Remy berkata, perbualan dengan masyarakat termasuk peminat membuka mata mengenai realiti kehidupan.

 "Saya tahu kebanyakan peminat adalah perempuan sebab mereka suka tonton drama. Tetapi dalam tempoh PKPB, saya mendapat maklum balas daripada penonton lelaki. 
 "Iyalah, ketika PKPB, hendak tengok perlawanan bola sepak pun tiada, jadi ramai lelaki tonton drama.
 "Berikutan drama Bukan Gadis Biasa lakonan saya sedang disiarkan, jadi ramai peminat yang berborak dengan saya mengenai drama itu ketika menyertai program amal ini," katanya.


Tambah Remy, daripada perbualan itu, timbullah cerita cabaran hidup masing-masing ketika berdepan penularan COVID-19 dan PKPB.

 "Ada yang mengadu hilang pekerjaan dan mata pencarian untuk menyara keluarga. Itu yang membuatkan saya sedih. Mereka bukan peminta sedekah tetapi memerlukan bantuan. 
 "Lebih sedih apabila mereka langsung tidak fikir hendak menyambut Aidilfitri," katanya. 

 Mengajak masyarakat menghulurkan tangan membantu, Remy berkata, orang ramai yang mahu memberi sumbangan boleh melakukannya dengan membeli produk Origina.

 "Lima peratus daripada jualan produk Origina akan digunakan untuk membeli barangan keperluan untuk disalurkan kepada golongan memerlukan. 
 "Pada Ramadan, pastinya ramai hendak berkongsi rahmat Allah. Inilah masanya untuk kita saling membantu," katanya. 

 Semalam, Remy menyerahkan barangan keperluan seperti beras, gula, minyak, garam dan telur kepada penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah dan PPR Lembah Subang.

 Program Origina Sharity Bersama Remy Ishak membabitkan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Penggerak Malaysia Negeri Selangor.


Ditanya mengenai sambutan Aidilfitri, Remy mengaku dengan keadaan sekarang, dia tidak terfikir mengenainya.

 "Syawal adalah bulan kita menyambut kemenangan. Tapi kita hanya menang selepas sebulan berpuasa. 
 "Daripada segi memerangi COVID-19, realitinya kita belum menang. Jadi, kita perlu berjaga-jaga dan mematuhi saranan kerajaan. 
 "Andai saya boleh pulang ke Melaka sekalipun, saya tidak akan mengadakan majlis rumah terbuka dan membiarkan tetamu datang beramai-ramai seperti selalu. 
 "Ini kerana emak saya sudah berusia, saya tidak mahu mengambil risiko," katanya.

loading...
loading...

0 Response to "#PRIHATIN ~ Remy Ishak sayu, tak fikir pasal raya"

Catat Ulasan