loading...
Sebagai sebuah pesawat pengangkut pelbagai guna dan termoden keluaran Airbus, pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini telah berjaya melaksanakan penerbangan membawa Helikopter Super Lynx milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke Kota Kinabalu, Sabah.
Penerbangan membawa aset udara TLDM ini adalah yang pertama kali dilaksanakan oleh TUDM.Namun begitu, ianya tidak menjadi kesukaran buat juruterbang dan kuartermaster udara pesawat A400M yang telah pun mempunyai pengalaman dalam mengendalikan penghantaran melibatkan muatan strategik milik TUDM dan juga misi-misi bantuan kemanusiaan yang mana kejayaan paling besar adalah membawa jentera berat untuk membantu Republik Indonesia semasa misi “Humanitarian Assistance and Disaster Relief’’ (HADR) kejadian gempa bumi di Palu, Sulawesi Tengah Indonesia pada tahun 2018.
Proses memuat naik Helikopter Super Lynx telah bermula seawal jam 5.30 pagi tadi di Pangkalan Udara Subang. Dengan perancangan dan persediaan yang rapi oleh anggota TUDM dari Cabang Pergerakan Udara, juruterbang serta anak kapal telah membolehkan proses-proses memasukkan helikopter TLDM ke dalam badan pesawat dapat dilaksanakan dengan lancar dan selamat.
Pesawat A400M dari No. 22 Skn yang berpangkalan di Pangkalan Udara Subang telah berlepas pada jam 8.30 pagi dan selamat mendarat di Lapangan Terbang Kota Kinabalu pada jam 11.10 pagi. Penerbangan yang mengambil masa 2 jam 40 minit telah dikendalikan oleh Mej Lo Chee Sing TUDM dan dibantu oleh Kapt Erid bin Abdul Rahim TUDM selaku pembantu juruterbang bersama enam (6) anak kapal yang lain.
Penerbangan kali ini membuktikan keupayaan pesawat A400M milik TUDM sebagai aset yang sangat diperlukan ketika ini terutama ketika negara dilanda krisis. Atur gerak pesawat udara TLDM kali ini juga adalah bukti usaha bersepadu di antara TUDM dan TLDM khususnya di dalam menjaga kedaulatan tanah air tercinta.
loading...
loading...
0 Response to "Pesawat TUDM Airbus A400M Menerbangkan Kargo Helikopter Super Lynx TLDM ke Sabah"
Catat Ulasan