SinarHairan

#TAKZIAH ~ Pelawak Accapan meninggal dunia

loading...

Pelakon dan pelawak terkenal, Accapan atau nama sebenarnya, Samynathan Rethinam, 60, meninggal dunia akibat masalah kegagalan buah pinggang, pada jam 2.43 pagi tadi.

 Accapan meninggalkan seorang balu, Yogeswari Subramaniam, 53, dan tiga anak iaitu Vikneshwaran, 31, Dhineshwaran, 28, dan Yhuveneshwary, 24.

 Anak bongsu mendiang, Yhuveneshwary berkata, seluruh ahli keluarga berada di sisi ayah yang menghembuskan nafas terakhir di kediaman mereka di Puchong, Selangor.

 "Upacara penghormatan terakhir akan dilakukan di rumah di Taman Puchong Utama, kira-kira jam 3 petang ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. 

 Mendiang Accapan adalah pelawak berbangsa India yang sangat dikenali dalam industri hiburan tempatan sejak era 1970-an.

 Namanya semakin sinonim sebagai pelawak apabila membintangi sitkom Santan Berlada pada era 1980-an bersama Khairul Azhar dan Allahyarham Ali Mamak.

 Mereka pernah merakamkan album Trio Santan Berlada dan Trio Santan Berlada II yang menampilkan irama dangdut, raggae, rock dan pop dalam bahasa Tamil.

 Kebanyakan seleksi adalah lagu Melayu yang ditukar liriknya.

 Dilahirkan di Parit Buntar, Perak pada 27 Januari 1958, figura seni itu turut menyerlah dia arena perfileman dengan kali terakhir membintangi filem Mamak Cupcake arahan Woo Ming Jin pada 2012.

 Antara filem lakonannya yang lain seperti Mira Edora, Sejati, Adik, Rimba Malam, Sahabat, Simfoni Kasih, Suratan Kasih, Bisikan Kasih, Ghazal Untuk Rabiah, Jin Notti dan Gila Bola.

 Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) melalui Setiausaha Agungnya, Hafiz Nafiah turut mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang.-BH
loading...
loading...

0 Response to "#TAKZIAH ~ Pelawak Accapan meninggal dunia"

Catat Ulasan