loading...
Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) Khairul Nizam Abd Ghani mendakwa polis Johor seolah-olah berdendam dengannya.
Beliau berkata, walaupun polis Bukit Aman membebaskannya selepas memberi keterangan untuk satu kes di bawah Akta Hasutan, polis Johor tetap berusaha untuk meremannya.
“Selepas memberi keterangan kepada polis Bukit Aman berhubung posting di Facebook bertarikh Oktober 2015, polis Johor sendiri telah membuat laporan ke atas saya berhubung posting bertarikh 22 Jun 2015 bagi menahan saya.
“Ketika membuat permohonan reman, pegawai penyiasat dari Johor berkata kepada majistret bahawa saya perlu direman untuk memberikan pengajaran kepada orang ramai kerana kes melibatkan Sultan,” katanya, ketika ditemui selepas memberi keterangan kepada Suruhanjaya Integriti Agensi penguatkuasaan (EAIC) di sini, tengah hari tadi.
Beliau yang turut dikenali sebagai Aduka Taruna menyifatkannya sebagai penyalahgunaan sistem reman yang sepatutnya digunakan untuk menjalankan siasatan.
“Reman digunakan jika polis tidak dapat menjalankan siasatan secukupnya dalam masa 24 jam, bukan untuk memberikan pengajaran. Lagipun saya masih belum dibuktikan bersalah,” katanya lagi.
Terdahulu, PSM menyerahkan memorandum kepada EAIC berhubung prosedur penahanan polis Johor terhadap Khairul Nizam serta dua ahli lain – S Arutchelvan dan Khalid Ismath.
Memorandum antara lain mempersoalkan keperluan mereman mereka untuk siasatan di bawah Akta Hasutan.
Ia juga mempersoalkan tindakan polis membawa Khairul Nizam dan Khalid ke Johor, walaupun masing-masing ditahan di Kota Bharu dan Klang.
S Arutchelvan dalam sidang media sebelum itu mendakwa polis Johor seolah memiliki standard yang berbeza dengan Bukit Aman dan negeri-negeri lain.
“Cara polis Johor lebih mengelirukan (upside down), berbeza dengan di Bukit Aman dan negeri lain. Kami berharap siasatan EAIC dapat menambah baik prosedur polis di Johor pada masa akan datang,” kata pemimpin PSM itu lagi.
Pegawai komunikasi korporat EAIC ketika ditemui enggan mengulas lanjut, dan hanya berkata pihak mereka akan membentangkan hasil siasatan kepada umum apabila ia selesai nanti.
Khairul Nizam dan Khalid Ismath ditahan di bawah Akta Siasatan ekoran mengkritik kerabat diraja Johor melalui Facebook masing-masing tahun lalu.
loading...
loading...
0 Response to "Polis Johor salah guna kuasa reman"
Catat Ulasan