SinarHairan

Apakah Hukum Bridal Shower Dalam Islam?

loading...
Apakah Hukum Bridal Shower Dalam Islam?

Budaya baby shower, bridal shower dan parti orang bujang (bachelorette party) telah menjadi ikutan dan trend pada zaman sekarang. Namun, di Malaysia yang majoritinya beragama islam, apakah hukum serta penjelasan mengenai budaya barat ini kepada Islam?

Laman web rasmi Mufti Wilayah Persekutuan menerangkan isu ini melalui pertanyaan yang diusulkan dan diperjelaskan mengikut syarak.  Mari kita baca penjelasan dibawah.

Soalan                               

Adakah bridal shower yang diamalkan oleh pengantin yang berbangsa Melayu beragama Islam sebelum malam perkahwinan itu dibenarkan syarak?

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT tuhan sekalian alam, selawat serta salam buat Nabi SAW, ahli keluarga baginda, isteri-isteri, para sahabat baginda, seterusnya mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke hari akhirat.

Untuk memahami persoalan yang diajukan, kita perlu memahami beberapa perkara.

Asal-Usul Bridal Shower Atau Bachelorette Party

Menurut sebuah artikel di laman web World Bride Magazine[1], ‘bridal’ ini berasal dari Holand pada kurun ke-16. Ia disambut untuk mengembirakan bakal pengantin yang akan menamatkan zaman bujang. Ia juga untuk membantu pengantin perempuan bagi menyediakan dowry iaitu hadiah daripada pihak pengantin perempuan kepada pengantin lelaki.

Perkataan shower pula muncul di Amerika Syarikat ketika era Victoria. Gadis-gadis daripada golongan pembesar meraikan bakal pengantin dengan sesi bersuka-ria, menukar hadiah dan makan bersama. Selepas beberapa kurun, hal ini menjadi suatu kebiasaan bagi pengantin untuk diraikan sebelum perkahwinan mereka.

Larangan Menyerupai Orang Kafir

Dalam permasalahan ini, kami telah menjawab dalam artikel yang bertajuk, Bayan Linnas Siri Ke- 152: Had Berinteraksi Dengan Agama Lain Di Dalam Rumah Ibadat Mereka Di Malaysia[2]. Dalam artikel ini, kami menghuraikan dengan panjang tentang larangan menyerupai orang kafir.

Islam merupakan agama yang amat mementingkan identiti. Sedangkan manusia amat menitikberatkan identiti bangsa yang dianuti dan negara yang diduduki, apatah lagi Allah SWT, Tuhan yang menurunkan agama ini. Oleh itu, sebagai hamba-Nya yang taat, kita perlu berhati-hati dalam memastikan identiti Islam sentiasa terpelihara daripada penyerupaan dengan agama lain.

Lantaran itu, kita dilarang oleh Rasulullah SAW menyerupai golongan kafir dalam hal yang merupakan identiti atau lambang atau syiar agama mereka. Daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum dia adalah dari kalangan mereka.”

Riwayat Abu Daud (4031)

Imam al-San’ani (w.1182H) Rahimahullah berkata bahawa hadis di atas menunjukkan barangsiapa yang menyerupai orang-orang fasiq ataupun kafir ataupun orang yang melakukan bid’ah dalam apa jua perkara yang dikhaskan padanya dari segi pemakaian, tunggangan ataupun gerak-geri tingkah laku maka dirinya tergolong dalam kalangan mereka. Lihat Subul al-Salam (2/647).

Kesimpulan

Setelah meneliti asal-usul bridal shower, kami melihat ia bukanlah suatu syiar mana-mana agama, ia hanyalah amalan yang dilakukan oleh kumpulan tertentu. Oleh itu, kami mencadangkan dan memutuskan seperti berikut:

Sekiranya hendaklah melakukan acara ini, hendaklah menjauhi segala larangan dan perkara yang diharamkan syarak
Hendaklah memastikan tiada hidangan arak atau minuman yang memabukkan ketika acara ini berlangsung
Hendaklah menjaga batasan pergaulan di antara lelaki dan perempuanketika majlis ini berlangsung
Hendaklah acara ini hanya bertujuan untuk mengeratkan silaturahim di antara pengantin dan sahabat-sahabatnya, dan bukan bertujuan untuk mengikuti budaya barat
Dicadangkan agar menukar nama acara ini, kepada malam silaturahim, atau nama yang dirasakan bersesuaian agar dapat keluar daripada fitnah
Hendaklah mengelakkan sebarang pembaziran ketika berlangsung acara ini dan mengelakkan daripada bermegah-megah
Semoga kita sentiasa diberi hidayah dan petunjuk untuk mengamalkan syariat Islam. Amin.

Sumber: Mufti Wilayah
loading...
loading...

0 Response to "Apakah Hukum Bridal Shower Dalam Islam?"

Catat Ulasan