loading...
Gambar Kes 1, Harian Metro | Gamber Kes 2, Ahmad Faizal |
Seorang wanita berpurdah dan suaminya dikatakan menjanjikan hidangan lazat untuk keluarga pengantin baru itu seperti udang panjat nanas, nasi minyak, ayam masak mereah, ikan siakap dan ayam gorek tetapi tidak muncul pada majlis berkenaan.
Mereka juga menjanjikan kek dua tingkat untuk pengantin itu, Azrul Alif Mohd Hamsan, 26, dan isterinya, Farah Nadhilah Johar, 29, memotongnya.
Bagi menutup aib, ibu bapa pengantin menyediakan menu pucuk paku, ayam masak mereka serta nasi putih yang dibeli dari tiga restoran berhampiran bagi mengelak tetamu hampa tanpa menjamah hidangan.
Bagaimanapun, ada tetamu pulang dengan perut kosong.
Lebih malang, bayaran pendahuluan RM6,500 daripada kos keseluruhan pakej RM9,000 dibayar kepada pasangan perunding perkahwinan berperwatakan alim itu beberapa bulan lalu secara ansuran.
Menurut Azrul, dia dan isteri memilih menggunakan khidmat pasangan terbabit yang berusia 30-an selepas tertarik pada iklan pakej ditawarkan melalui media sosial.
Dia menghubungi mereka untuk berbincang mengenai harga, tarikh dan pakej perkahwinan ditawarkan pada Jun lalu.
"Kami bersetuju dengan harga pakej RM9,000 ditetapkan dan membayar RM6,500. Mereka berjanji menyediakan khemah, makanan, pakaian dan pelamin bagi majlis perkahwinan kami.
"Tetamu dijanjikan hidangan bufet nasi minyak, ayam masak merah, dalca sayur dan pelbagai sajian lain," katanya kepada Harian Metro.
Masalah mula timbul apabila keluarga Azrul diminta membayar sendiri kos pemasangan dan sewa khemah bernilai lebih RM1,000 pada Jumaat lalu walaupun termasuk di dalam pakej dipersetujui.
Kata Azrul, lebih memburukkan keadaan apabila makanan tetamu sepatutnya dihantar jam 10.30 pagi kelmarin tidak muncul seperti dijanjikan.
"Saya segera menghubungi wanita itu tetapi dia memberi pelbagai alasan kononnya kenderaan digunakan untuk membawa makanan rosak di Padang Jawa, Klang," katanya.
Mereka sekeluarga bertambah panik apabila juadah dijanjikan tidak muncul sehingga jam 12 tengah hari.
"Kami tiada pilihan dan bergegas ke beberapa restoran berhampiran untuk membeli lauk bungkus. Segalanya dilakukan dalam keadaan huru-hara berikutan majlis perkahwinan bermula," katanya.
Dia berkata, hidangan ringkas itu turut dijamu di meja utama pengantin bagi santapan mereka dan ahli keluarga terdekat.
"Kami berusaha sebaik mungkin untuk melayan tetamu termasuk menggoreng mi dan menghidangkan sate kepada mereka. Ada yang tidak dapat makan dan pulang dengan perut kosong.
"Saya menghubungi semula wanita itu jam 4.30 petang. Dia gagal dihubungi sehingga kini," katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 11, Shah Alam.
Dia yang bekerja sebagai pemandu ambulans mengakui sedih dengan tindakan pasangan perunding perkahwinan itu.
"Kami mengeluarkan duit belanja sendiri RM4,000 bagi membeli makanan dan keperluan lain.
"Saya yakin mereka berniat untuk menipu berikutan pasangan itu sengaja menghilangkan diri dan gagal dihubungi," katanya.
Usaha wartawan Harian Metro untuk mendapatkan penjelasan dari perunding perkahwinan itu gagal apabila nombor telefon dihubungi tiada dalam perkhidmatan.
Sementara itu, pihak katering yang pernah berkerjasama dengan pasangan perunding perkahwinan itu juga mendakwa telah ditipu dan sehingga kini, baki pembayaran bagi dua perkhidmatan katering berjumlah RM20,000 pada 2015 masih belum dibayar.
"Kami pernah mengabaikan penipuan wanita ini berkaitan pembayaran dua job katering berjumlah RM20,000 sekitar tahun 2015. Tiada laporan polis dibuat sehinggalah semalam," kata Ahmad Faizal Abu Hassan yang turut mendedahkan sepasang pengantin baru juga telah menjadi mangsa perunding perkahwinan terbabit.
Status yang dimuat naik Ahmad Faizal di laman Facebooknya semalam | Foto - Ahmad Faizal |
"Semalam, sepasang pengantin dengan masih berbaju pengantin terpaksa menghadap Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam, sehingga tengah malam untuk selesaikan masalah ini. Bayangkan tetamu datang tanpa hidangan katering dan hanya diberi goodies. Malu," katanya dalam status yang dimuat naik 22 jam yang lalu di laman Facebook.
Pasangan pengantin yang juga menjadi mangsa berdepan dengan perunding perkahwinan terbabit di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam, semalam | Foto - Ahmad Faizal |
Laporan polis yang dibuat oleh Tun Teja, salah seorang penyedia perkhidmatan katering yang menjadi mangsa perunding perkahwinan berkenaan | Foto - Tun Teja |
Menurut Ahmad Faizal, selain mereka, ada 19 lagi penyedia perkhidmatan katering yang pernah menjadi mangsa pasangan berkenaan akan tampil mengambil tindakan undang-undang. - The Reporter
loading...
loading...
0 Response to "Pengantin Rugi RM6,500 Ditipu Wedding Planner"
Catat Ulasan