SinarHairan

Apa hukum bersumpah dengan al-Qur’an?

loading...


Soalan: Apa hukum bersumpah dengan al-Qur’an?

Jawapan:
Kami mulakan jawapan ini dengan pengertian sumpah. Perkataan aiman (الأيمان) ialah kata jama’ bagi perkataan yamin (اليمين). Dari segi bahasa, bererti kekuasaan. Firman Allah SWT:
لَأَخَذْنَا مِنْهُ بِالْيَمِينِ
Maksudnya: Sudah tentu Kami akan menyentapnya, dengan kekuasaan Kami.
(Surah al-Haqqah: 45)

Kata penyair:
Apabila panji diangkat untuk disanjung
Nescaya ‘urabah akan menemuinya kekuatan

Perkataan yamin juga, bermaksud tangan kanan kerana terdapat kekuatan tenaga pada tangan tersebut. Begitu juga, ia bermaksud dengan sesuatu yang dimuliakan. Hal ini adalah kerana orang Arab apabila bersumpah mereka berpegangan tangan kanan. Perkataan yamin dari segi istilah pula, menguatkan maksud kata-kata yang tidak thabit, dengan menyebut satu daripada nama atau sifat Allah dalam lafaz yang tertentu. Hal ini tidak termasuk dalam sumpah yang sia-sia (اليمين اللغو), iaitu sumpah yang biasa pada lidah tanpa tujuan penegasan sesuatu perkara atau menguatkannya.
Contohnya, seseorang yang biasa menyebut tidak, demi Allah (لا، والله) dan bahkan, demi Allah (بلى، والله). Kata-kata yang demikian tidak dianggap sumpah dari segi syara’. Firman Allah SWT:

لَا يُؤَاخِذُكُمُ اللَّهُ بِاللَّغْوِ فِي أَيْمَانِكُمْ وَلَكِنْ يُؤَاخِذُكُمْ بِمَا عَقَّدْتُمُ الْأَيْمَانَ

Maksudnya: Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi, kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh.
(Surah al-Maidah: 89)

Aisyah R.Anha berkata:
نُزِلَتْ فِي قَوْلِهِ: لاَ وَاللَّهِ، وَبَلَى وَاللَّهِ
Maksudnya: “Ayat ini diturunkan berkaitan dengan kata-kata seorang lelaki yang menyebut tidak, demi Allah! Dan bahkan, demi Allah!”

Riwayat al-Bukhari (6286) dan Abu Daud (3254)

Daripada Aisyah R.Anha, sabda Rasulullah SAW:
هُوَ كَلاَمُ الرَّجُلِ فِي بَيْتِهِ: كَلاَّ وَاللهِ وَبَلَى وَاللهِ
Maksudnya: “Ia berkaitan dengan kata-kata seorang lelaki di rumahnya yang menyebut, tidak sekali-kali, demi Allah, dan bahkan, demi Allah.”

Riwayat Ibn Hibban (1187)

Lafaz yang menguatkan kandungan kata-kata yang thabit, seperti “demi Allah, aku akan mati” atau “demi Allah, sesungguhnya matahari terbit,” yang dilafazkan ketika matahari telah pun terbit, tidaklah dianggap sumpah dari segi syara’.

Ini kerana maksud kata-kata itu sendiri telah pasti dan tidak dapat digambarkan bagaimana sumpah tersebut tidak ditepati. Sumpah boleh dilakukan terhadap perkara yang telah berlalu, seperti “demi Allah, aku tidak pernah melakukan begitu” atau “demi Allah, aku telah melakukannya.”
Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

يَحْلِفُونَ بِاللَّهِ مَا قَالُوا
Maksudnya: Mereka bersumpah dengan nama Allah, bahawa mereka tidak mengatakan (sesuatu yang buruk terhadapmu).
(Surah al-Taubah: 74)

Begitu juga, boleh bersumpah terhadap perkara yang akan berlaku pada masa hadapan, seperti demi Allah, aku akan melaksanakannya.

Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW
وَاللهِ لأَغْزُوَنَّ قُرَيْشاً
Maksudnya: “Demi Allah, aku akan memerangi Quraisy.”
Riwayat Imam Abu Daud )447)

Berkenaan dengan sumpah menggunakan al-Qur’an, hukumnya adalah dibolehkan. Ini berdasarkan kepada antara syarat-syarat bersumpah itu ialah:
Bersumpah dengan satu daripada yang berikut:
  1. Zat Allah SWT. Contohnya, Aku bersumpah demi Zat Allah SWT atau aku bersumpah demi Allah SWT.
  2. Nama Khas bagi Allah SWT. Contohnya, Aku bersumpah demi Tuhan Penjaga (الرب) seluruh alam atau demi Tuhan Pemerintah (المالك) hari Kiamat atau Aku bersumpah demi Tuhan yang Maha Pemurah.
  3. Sifat Allah SWT. Contohnya, Aku bersumpah demi kemuliaan Allah atau demi ilmu-Nya atau demi kehendak-Nya atau demi kekuasaan-Nya.
Ini berdasarkan hadith daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW mendapati Umar bin al-Khattab RA yang sedang berkenderaan, bersumpah dengan nama bapanya. Baginda bersabda:

هُوَ يَسِيرُ فِي رَكْبٍ، يَحْلِفُ بِأَبِيهِ، فَقَالَ: أَلاَ إِنَّ اللَّهَ يَنْهَاكُمْ أَنْ تَحْلِفُوا بِآبَائِكُمْ، مَنْ كَانَ حَالِفًا فَلْيَحْلِفْ بِاللَّهِ، أَوْ لِيَصْمُتْ

Maksudnya: “Bukankah Allah menegah kamu bersumpah dengan nama bapa kamu? Sesiapa yang bersumpah, hendaklah dengan lafaz Allah atau hendaklah diam sahaja.”
Riwayat al-Bukhari (6270) dan Muslim (1646)

Daripada Umar RA, katanya:

كَانَت يَمِيْنُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لاَ وَمُقَلِّبِ الْقُلُوبِ
Maksudnya: “Sumpah Nabi SAW ialah tidak, demi Tuhan yang mengubah-ubah hati.”
Riwayat al-Bukhari (6253)

Begitu juga hadith sabda Nabi SAW:
وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ
Maksudnya: “Demi Tuhan yang diriku dalam genggaman-Nya dan Demi Tuhan yang diri Muhammad dalam genggaman-Nya.”
Riwayat al-Bukhari (6254)

Bersumpah dengan Al-Qur'an hukumnya boleh kerana Al-Qur'an adalah firman Allah, dimana Allah SWT berfirman secara hakiki dengan lafaz, dan maksud menyampaikan maknanya. Allah SWT disifatkan dengan Al-Kalam. Dengan demikian, bersumpah dengan al-Qur'an pada hakikatnya merupakan sumpah dengan salah satu sifat Allah, maka hukumnya boleh.

Sehubungan itu, seseorang yang bersumpah dengan yang lain selain yang tersebut sumpahnya, tidak sah kerana dua sebab berikut:
  • Hadith Rasulullah SAW yang terdahulu:
مَنْ كَانَ حَالِفًا فَلْيَحْلِفْ بِاللَّهِ، أَوْ لِيَصْمُتْ
Maksudnya: “Sesiapa yang bersumpah, hendaklah dengan lafaz Allah atau hendaklah dia diam sahaja.”
Riwayat al-Bukhari (2679)
  • Tiada keagungan yang sempurna pada yang lain selain yang tersebut, manakala orang Mukmin, ditegah sama sekali mengagung-agungkan yang lain selain Allah SWT. 
Kami akhiri perbincangan ini dengan mengharapkan kita sentiasa menggali dan mencari ilmu dari sumber yang sebenarnya agar ia benar-benar menepati syariat Islam. Semoga dengan jawapan ini memberi kefahaman yang baik kepada kita berkaitan sumpah, Amin.
Akhukum fillah


Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
loading...
loading...

0 Response to "Apa hukum bersumpah dengan al-Qur’an?"

Catat Ulasan