loading...
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Timbangan amal (mizan) adalah tempat penentuan seseorang hamba Allah itu samaada akan ditempatkan disyurga atau neraka. Jika berat pahala/ kebaikannya maka syurgalah balasannya begitu juga jika berat dosa/ amalan buruknya maka nerakalah balasan yang akan diterima.
Untuk menyelamatkan kita dengan mendapat berat amal kebaikannya maka perlulah berusaha mencari jenis-jenis amalan yang boleh menjadikan amal kebaikan kita menjadi berat semasa ditimbang.
Terdapat empat amalan yang boleh menambahkan berat timbangan amal seseorang di hari akhirat iaitu :
Pertama : Puasa yang ikhlas kerana Allah Subhanahu Wa Taalah.
Kedua : Perbanyakkan zikir “Subhanallah wa bi hamdih, subhanallahil ‘azhim”.
Ketiga : Akhlak yang baik.
Keempat : Perbanyakkan niat-niat yang baik walaupun masih belum berkemampuan melaksanakannya.
Huraiannya :
Pertama : Puasa yang ikhlas kerana Allah Subhanahu Wa Taalah.
Puasa yang dikerjakan dengan ikhlas mengikut tuntutan syarak akan menerima ganjaran pahala yang amat besar (dengan rahmatNya), hanya Allah Subhanahu Wa Taalah yang mengetahuinya.
Menurut alim ulamak, di akhirat kelak, jika kita telah ketandusan pahala kerana membayar hutang kepada penuntut-penuntut hutang pahala di atas dosa-dosa yang kita lakukan terhadap seseorang semasa di dunia, pahala puasa tidak akan diberi sebagai membayar hutang. Pahala puasa akan hanya digunakan apabila kita menghadapi timbangan amal (mizan) untuk menimbang dosa dan pahala di hadapan Allah Subhanahu Wa Taala kelak. Dengan rahmatNya, Allah Subhanahu Wa Taala akan membayarnya dengan pahala puasa kita (hanya Dia sahaja yang Maha Mengetahui nilai tersebut).
Status orang yang berpuasa dengan ikhlas dan taat (berkualiti) begitu istimewa disisi Allah Subhanahu Wa Taalah. Puasa yang ikhlas adalah ibarat perisai, pendinding dan benteng dari kelemahan rohani dan jasmani sekali gus menghindarkan kita dari dosa-dosa besar dan kecil.
Firman Allah SWT maksudnya : "Semua amal perbuatan anak Adam adalah untuknya, kecuali puasa, ia adalah kepunyaanKu, dan Akulah yang akan membalasnya. Dan bagi orang yang berpuasa diberikan dua kegembiraan. Satu kegembiraan ketika berbuka dan satu kegembiraan lagi ketika menemui Tuhannya (menerima balasan yang telah dijanjikanNya). Dan sesungguhnya bau yang keluar dari mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada kasturi." (Hadis Qudsi Riwayat Tabrani dalam al Kabir dari Ibnu Mas'ud dan lain-lain)
Di dalam satu lagi Hadis Qudsi Allah Subhanahu Wa Taalah berfirman maksudnya: "Puasa itu dinding atau perisai dari api neraka dan ia adalah untukKu dan Aku sendiri akan membalasnya. Dia (yang berpuasa) meninggalkan nafsu syahwat, meninggalkan makan dan minum kerana Aku. Sesungguhnya bau yang keluar dari mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah dari bau kasturi". (Hadis Qudsi Riwayat Baghawi, Tabrani dan 'Abdan bin Basyir dari Ibnu Khasasiah).
Dalam sebuah hadis sahih yang bermaksud : "Di syurga terdapat lapan pintu, diantaranya ada pintu bernama Ar-Royyaan. Tidak diperkenankan masuk melaluinya kecuali orang-orang yang berpuasa." (Hadis Riwayat Bukhari dari Sahl bin Sa'd).
Kedua : Perbanyakkan zikir “Subhanallah wa bi hamdih, subhanallahil ‘azhim”.
Nabi SAW ada memberi pesanan bahawa ada terdapat sebuah zikir yang mudah diulangkan setiap saat, namun berat di timbangan amalan. Zikir tersebut adalah bacaan “Subhanallah wa bi hamdih, subhanallahil ‘azhim”.
Dari Abu Hurairah, dari Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda,
كَلِمَتَانِ خَفِيفَتَانِ عَلَى اللِّسَانِ ، ثَقِيلَتَانِ فِى الْمِيزَانِ ، حَبِيبَتَانِ إِلَى الرَّحْمَنِ سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ ، سُبْحَانَ اللَّهِ الْعَظِيمِ
"Dua kalimat yang ringan di lisan, namun berat ditimbangan, dan disukai Ar Rahman iaitu “Subhanallah wa bi hamdih, subhanallahil ‘azhim” (Maha Suci Allah dan segala puji bagi-Nya. Maha Suci Allah Yang Maha Agung). (Hadis Riwayat Bukhari no. 6682 dan Muslim no. 2694)
Ketiga : Akhlak yang baik.
Dari Abu Hurairah radhiallahu anhu dia berkata:
سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ أَكْثَرِ مَا يُدْخِلُ النَّاسَ الْجَنَّةَ فَقَالَ تَقْوَى اللَّهِ وَحُسْنُ الْخُلُقِ وَسُئِلَ عَنْ أَكْثَرِ مَا يُدْخِلُ النَّاسَ النَّارَ فَقَالَ الْفَمُ وَالْفَرْجُ
“Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pernah ditanya tentang sesuatu yang paling banyak memasukkan manusia ke dalam syurga, maka baginda pun menjawab, “Takwa kepada Allah dan akhlak yang mulia.” Dan baginda juga ditanya tentang sesuatu yang paling banyak memasukkan manusia ke dalam neraka, maka baginda menjawab, “Mulut dan kemaluan.” (Hadis Riwayat. At-Tirmizi no. 2004)
Dari Aisyah radhiallahu anha dia berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:
إِنَّ الْمُؤْمِنَ لَيُدْرِكُ بِحُسْنِ خُلُقِهِ دَرَجَةَ الصَّائِمِ الْقَائِمِ
Maksudnya : “Sesungguhnya seorang mukmin betul-betul akan mendapatkan kedudukan ahli puasa dan solat dengan akhlak baiknya.” (Hadis Riwayat. Abu Daud no. 4798 dan dinyatakan sahih oleh Al-Albani dlm Shahih Al-Jami’ no. 1932)
Apakah yang dimaksudkan akhlak yang baik?
1. Membuangkan semua sifat-sifat mazmumah seperi riak, sombong, bongkak, takbur, iri hati, hasad dengki, suka mengumpat, memfitnah, mengadu domba dan suka memutuskan silaturahim, suka dedahkan aib orang lain dan sebagainya.
2. Memiliki sifat-sifat mahmudah seperti ikhlas, jujur, amanah, sabar , zuhud, qanaah, syukur, reda dengan takdir Allah dan lain-lain lagi.
3. Istiqamah dengan amal Islam, amal ibadah dan amal-amal soleh seperti suka bersedekah, suka membantu orang lain, berdakwah, amal makruf nahi mungkar dan sebagainya.
Keempat : Perbanyakkan niat-niat yang baik walaupun masih belum berkemampuan melaksanakannya.
Sabda Nabi SAW. yang bermaksud, "Seorang hamba yang dikurniakan Allah ilmu dan niat yang ikhlas, ia berkata, 'Seandainya aku memiliki harta, nescaya aku akan beramal sebagaimana yang diperbuat oleh si polan (golongan yang diberikah harta dan ilmu).' Dengan niatnya tersebut, maka pahala kedua-dua hamba ini sama." (Hadis Riwayat Tirmizi).
Nabi SAW bersabda maksudnya : ” Seorang hamba dihadapkan pada hari kiamat membawa hasanah sebesar bukit, lalu ada seruan;' Siapa yang pernah di aniaya oleh fulan boleh datang untuk dibayar'. Maka datanglah beberapa orang lalu mengambil bahagiannya sehingga tiada tinggal satu pun dari hasanah yang banyak itu, sehingga hamba itu menjadi bingung, lalu Tuhan berkata kepadanya: 'Untuk mu ada simpanan pada Ku yang tidak Aku perlihatkan kepada malaikat atau seorang pun dari makhluk Ku,' lalu ia bertanya:' Apakah itu'. Jawab Tuhan: Ia itu niatmu, yang kau selalu niat akan berbuat kebaikan, Aku tulis untuk mu berlipat ganda, tujuh puluh lipat ganda.' "
Daripada Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW.bersabda maksudnya : "Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan.." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita pertingkatkan amal-amal soleh kita dan lakukanlah semata-mata kerana Allah SWT. Pertingkatkan empat amalan kebaikan seperti di atas sebagai usaha-usaha kita untuk memberatkan timbangan amal pahala kita ketika menghadapi hisab (mizan) di hari akhirat nanti. Jadikanlah puasa Ramadan kita sebagai amalan pertama yang akan mendapat kurniaan Allah SWT, berat timbangan amal dan dimasukkan-Nya kita kesyurga dengan rahmat -Nya. Wauallahualam.
Sumber : sehinggit.blogspot.my
loading...
loading...
0 Response to "4 Amal Soleh Manusia Menjadi Pemberat Semasa Timbangan Amal (Mizan) Di Hari Akhirat"
Catat Ulasan