Perkongsian oleh Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan mengenai situasi penunggang motorsikal yang dirawatnya di Jabatan Kecemasan. Inilah yang dinamakan “biar bergaya asal selamat”.
SUPERBIKE WEH!
“Dua-dua kes MVA. Superbike langgar kapcai. Berlanggar sama sendiri sebab nak elak kereta tukar lane” lapor MA sambil menyorong masuk dua orang mangsa ke dalam Zon Kuning Jabatan Kecemasan.
Aku segera periksa kepada mangsa pertama yang kelihatan terpinga-pinga.
“Tenang. Awak di hospital. Saya Doktor Kachak. Nama awak siapa?”. Selalunya selepas kemalangan jalanraya, kebanyakan mangsa akan hilang orientasi. Jadi, perlu beri orientasi kepada mereka. Bukan mendaftar masuk kolej je ada program orientasi tau!
“Rashid. Motor saya macam mana?” jawabnya.
“Rashid, saya nak periksa awak ni. Awak ingat tak apa yang berlaku?”
“Tak ingat.” jawab Rashid
Sambil meneruskan komunikasi, aku teruskan pemeriksaan. GCS penuh, E4V5M6. Anak mata reaktif pada cahaya dan saiz kedua-duanya setara. Walaupun Rashid pakai helmet Arai, belum tentu otak dia tak bergegar kalau terhempas ke jalan raya.
“Rashid, saya kena bukak baju dengan riding gear awak. Saya nak periksa kecederaan lain. Boleh tak?”
Jaket kulitnya calar balar, terutamanya di kawasan siku dan belakang badan. Sewaktu aku tanggalkan jaket kulit, sarung tangan pelindung dan butnya, aku periksa fizikal pemuda itu secara kasar. Tiada tanda-tanda kecederaan pada leher, tangan dan kaki. Cuma ada kesan lebam di bahu.
“Motor saya. Macam mana motor saya?”
Sejak tiba di Zon Kuning ni, hanya motorsikalnya yang dirisaukan. Rasanya hampir 10 kali dah dia tanya pasal motor dia tu. Serabut pula aku dibuatnya. Poyo betul!
“Rashid! Nanti-nantilah fikir pasal superbike awak tu! Tau lah motor mahal!”
“Eh? Motor saya, LC. Mamat tu yang tunggang superbike!” balasnya sambil menuding jari ke arah pesakit di katil bertentangan.
Aku pun toleh ke arah yang dituding. Dari tempat aku berdiri aku nampak baju putih pesakit yang menunggang superbike tersebut sudah bertukar merah. Ada luka teruk di buku jari kanannya. Oleh kerana hanya memakai boxer, aku perasan lutut kanannya juga ada luka. Kau jangan tanya aku kenapa dia pakai boxer je.
“Doktor saya dah boleh pakai baju semula ke belum? Sejuk la kat aircond kat sini” suara Rashid membantutkan pengamatan aku.
Toleh semula kepada Rashid.
“Laaaa…mati-mati saya ingat kau yang tunggang superbike. ” terpacul kata-kata ini daripada mulut aku lantas tersengih. Naik FZ pakai helmet fullface pun dah kelakar. Apatah lagi tunggang LC siap pakai kelengkapan macam nak berlumba di Litar Sepang.
“Jubake! Doktor ni sama je dengan member-member saya. Ketawakan saya pakai jaket kulit apa semua. Keselamatan tau ni. KESELAMATAN!” ujar Rashid.
Bahak!
Kelakar memang kelakar. Tapi, betul kata Rashid. Keselamatan perlu diutamakan. Biarlah orang kata kita poyo, naik motor LC hutang Aeon pun nak pakai kelengkapan menunggang yang lengkap. Yang penting selamat.
Setelah aku buat segala pemeriksaan yang perlu, aku benarkan Rashid pulang setelah dipantau 6 jam di bilik pemantauan.
Penunggang superbike itu pula di masukkan ke wad Orthopedik kerana mengalami luka kulit dan isi tersiat(degloving wound) yang agak besar di bahagian jari kelingking kanan dan lutut kanan. Sampai nampak tulang jari dan tempurung lutut. Buku lali kiri pula terkehel dan dikhuatiri ada ligamen yang terputus.
Aku tahu, memang nampak pelik kalau nak suruh penunggang kapcai pakai macam si Rashid tu, tapi sekurang-kurangnya, pakailah pakaian yang bersesuaian.
Jangan pakai seluar pendek. Sayangi lutut anda.
Jangan pakai selipar. Lindungi kaki.
Ramai penunggang motorsikal pakai jaket, walaupun bukan jenis kulit, itu pun dah cukup baik. Cuma kalau boleh, elakkan pakai terbalik.
Helmet tak payah ulaslah. Orang tak ada otak je tunggang motorsikal tak pakai helmet.
Jadilah macam Si Rashid
The post “Rashid! Nanti-nantilah fikir pasal superbike awak tu! Tau lah motor mahal!” appeared first on The Alternatif.
from The Alternatif http://ift.tt/2qhrsLb
0 Response to "“Rashid! Nanti-nantilah fikir pasal superbike awak tu! Tau lah motor mahal!”"
Catat Ulasan