loading...
Kerajaan digesa supaya tidak mengusik peruntukkan kritikal seperti tajaan pendidikan sebagai langkah melakukan penjimatan.
Jurucakap Parlimen DAP untuk Pendidikan, Sains dan Teknologi, Zairil Khir Johari sebaliknya mengesyorkan kerajaan menangani segala ketirisan, rasuah dan salah tadbir yang berlaku terlebih dahulu.
“Sepatutnya, peruntukan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ditingkatkan bukan digantungkan. Sudahlah peruntukan Kementerian Pendidikan Tinggi mengalami pemotongan sebanyak RM2.4 bilion untuk tahun 2016, kini beratus-ratus pelajar cemerlang akan hilang peluang mereka untuk belajar di universiti terpilih.
“Jika pengurangan perbelanjaan diperlukan sekalipun, biarlah dipotong program-program yang tidak membuahkan hasil daripada mengorbankan masa depan modal insan negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Wee Ka Siong yang mengesahkan biasiswa JPA bagi kursus ijazah sarjana muda dan program pra-universiti digantung.
Menurut Zairil, kerajaan dapat menjimatkan sekurang-kurangnya RM30 bilion melalui pelan penyusunan semula dan langkah-langkah pembasmian rasuah seperti dinyatakan dalam Belanjawan Alternatif Pakatan Harapan 2015 yang dibentangkan Oktober tahun lalu.
Antara langkah-langkah yang dicadangkan ialah pemotongan peruntukan Jabatan Perdana Menteri yang kian melampau dan pemansuhan program yang tidak diperlukan seperti Jabatan Hal Ehwal Khas, Biro Tatanegara, TalentCorp dan Program Latihan Khidmat Negara.
“Tambahan pula, bilangan menteri-menteri yang berjumlah hampir 70 orang juga harus dikurangkan dan dirasionalisasikan.
“Pada masa yang sama, berbilion-bilion ringgit lagi wang kerajaan dapat dijimat melalui pelaksanaan dasar tender terbuka bagi semua perbekalan dan pemerolehan kerajaan, di samping menghentikan semua amalan penyelewengan dan rasuah sepertimana yang sering dibongkarkan,” katanya.
Tambah Zairil lagi, jumlah wang yang diperuntukkan bagi biasiswa JPA dalam Belanjawan 2016 juga tidak banyak kerana ia hanya membabitkan RM1.65 bilion berbanding RM1.93 bilion pada tahun 2015.
“Dengan jumlah peruntukan sebanyak RM20.3 bilion untuk Jabatan Perdana Menteri (JPM), masakan dana tidak boleh disalurkan daripada JPM bagi membiayai biasiswa JPA?”
“Lagipun, Najib telah membuktikan betapa senangnya beliau boleh memperolehi wang derma sebanyak RM2.6 bilion,” sindirnya.
loading...
loading...
0 Response to "Najib Kurangkan Peruntukan Biasiswa Pelajar Tapi JPM Berbelanje Mewah 20 Billion...Sebarkan"
Catat Ulasan