SinarHairan

'Kau Cakap Senanglah, Kau Dah Lulus, Aku Gagal!'

loading...

Mengemas kertas yang bertindih-tindih di atas meja di rumah sewa Kuala Lumpur, menemukan saya dengan sekeping gambar. Gambar semasa konvokesyen 2014 untuk Ijazah Sarjana. Sepatutnya saya konvo pada Oktober 2013, terlewat setahun kerana saya mengulang peperiksaan. Extend lagi enam bulan. Tiada konvo tengah tahun 2014, maka saya konvo pada Oktober 2014. 

Buat adik-adik yang sedang belajar perubatan, gagal itu adalah perkara biasa. Tidak ada satu yang luar biasa kalau kita gagal. Sesiapa sahaja boleh gagal walaupun dahulu kita pernah mendapat 4A dalam USPR, 9A dalam PMR atau 20A dalam SPM. Tidak mustahil kita boleh gagal. 

Bila gagal, pelbagai perasaan yang ada.

"Bodoh ke aku ini sampai boleh gagal? Tuhan tak sayang aku ke? Sebab itu ke aku gagal?"

Adik, setiap orang ada kepandaiannya sendiri. Tuhan menjadikan setiap daripada kita mempunyai kepandaian dalam satu-satu bidang. Gagal bukan bermakna Tuhan tidak sayangkan kita tetapi ada hikmahnya. Tuhan mahu kita lebih kuat berusaha dan dekat padaNya. 

Bila kita gagal, pasti kita akan merasa sedih. Siapa pula yang gembira bila sudah gagal melainkan dia sengaja menggagalkan dirinya. Itu memang confirm gembira walaupun gagal kerana dia sudah berniat mahu gagal. 

Bila kita sedih, kita akan mengadu kepadaNya. Kita meminta pada Dia agar bantu kita lulus dalam percubaan yang seterusnya. Sebagaimana seorang teman saya pernah berkata, kita hanya gagal jika kita gagal ujianNya. Gagal dalam peperiksaan yang dibuat oleh manusia itu adalah subjektif. 

"Aku dah gagal, tiada gunanya mencuba lagi,"

Siapa kata? Selagi kita boleh bangun semula dari kegagalan, tiada istilah mustahil untuk berjaya. Yang penting bukan berjaya atau kegagalan tetapi kita boleh bangun semula selepas gagal dan terus berlari mengejar kejayaan. 

Saya juga pernah gagal semasa peperiksaan bulan Mei 2013. Rasa mahu saja menyerah kali, malas meneruskan perjuangan, malas nak mengulangi peperiksaan yang sama walaupun hanya dalam enam bulan. Fobia untu menghadapi peperiksaan sekali lagi. Stressnya hanya Tuhan saja yang tahu. 

Dalam hati berbisik, "Tak lulus master pun aku masih menjadi doktor. Bukannya gelaran doktor yang dilucutkan,". 

Orang tua beri nasihat, kawan-kawan pujuk dan berikan semangat. Kata mereka, "Selangkah lagi hendak menjadi pakar, teruskan saja. Sayang kalau berhenti sekarang,"

Ya, adik-adik. Terutamanya jika sudah berada di tahun akhir, lagi setahun dua saja nak habis belajar di fakulti perubatan. Kaki sudah selangkah dalam kerjaya kedoktoran. Tinggal langkah kaki sebelah lagi. Bila kawan nasihat, teringin nak cakap pada kawan itu,

"Kau cakap senanglah, kau dah lulus. Aku ini gagal!"

Jangan begitu, lulus atau gagal itu rezeki Allah yang beri. Setiap orang tak sama. Rezeki kawan kita lulus dengan sekali percubaan. Mengapa mahu dicemburukan atau iri hati kerana memang itu rezeki dia yang Tuhan berikan. Rezeki lulus kita Tuhan belum berikan lagi. 

"Di mana silapnya aku boleh gagal? Apa yang aku tak buat lagi? Semuanya aku dah buat!"

Mungkin semua kita sudah buat dan lakukan sehabis mampu sehingga tiada daya usaha lagi. Namun kita gagal juga walaupun telah berusaha segala-galanya. Kita menjadi kecewa dan berduka. Mungkin kita insan terpilih yang diuji oleh Allah untuk melihat sejauh mana kita yakin padaNya. Siapa tahu apa yang akan berlaku di kemudian hari.

Kita gagal hari ini tetapi di masa akan datang, kita yang dahulunya dapat menyambungkan pelajaran dalam bahgian kepakaran yang kita minat. Kawan kita yang lulus awal masih belum mendapat bidang kepakaran yang dipohon. Itu kerja Tuhan, kita tidak tahu. 

Bila gagal, kita faham perasaan teman-teman lain yang gagal kerana kita berada dalam kasut mereka. Bagi mereka yang tidak pernah gagal tidak akan faham bagaimana perasaan mereka dan apa yang dilaluinya.

Kita boleh menolong teman-teman yang gagal dengan lebih baik kerana kita melalui pengalaman yang sama. Kita mudah bersimpati terhadap mereka yang gagal dan jangan memperkecilkan mereka.

Alhamdulillah saya dikurniakan teman-teman dan pensyarah yang baik. Tiada yang memperlekehkan sesiapa yang gagal. Masing-masing memberi semangat untuk mencuba lagi. 

"Adakah hidup ini tidak bermakna selepas gagal?"

Buang perasaan itu, banyak lagi perkara lain dalam hidup ini. Gagal peperiksaan bukan bermakna kehidupan kita berakhir. Masih ada peluang untuk mengulang. Saya melihat teman-teman yang mengulang sehingga tiga atau empat kali. Hendak kata mereka tidak pandai, saya rasa mereka lebih pandai daripada saya. Tetapi rezeki mereka lulu lambat. It's better late than never. Usahalah sampai berjaya. Bertatih, merangkak tetap sampai ke garisan penamat. Lambat atau cepat bukan persoalannya. 

Usah berburuk sangka pada Tuhan. Kalau Tuhan nak beri, belajar sikit pun kita boleh lulus. Mungkin soalan yang ditanya ketika long case atau short case adalah perkara yang paling kita mahir. Kalau belum rezeki, khatam semua pelajaran pun tidak bermakna kita dapat jawab. Tiba-tiba kita thought block sewaktu peperiksaan. Namun bukan bermaksud kita tidak perlu berusaha. 

Usaha itu perlu, barulah diiringi tawakal. Cuma kalau belum dikurniakan rezeki untuk lulus, bersabar dan ambil exam lagi. Tuhan suka orang yang berusaha.

Hikmah saya mengulang peperiksaan tersebut, maka terhasillah buku keempat saya dengan Truewealth. Buku berkisar mengenai kegagalan dan apa yang saya lakukan selepas gagal. InshaAllah akan keluar tahun 2016. Bulan berapa, kena tanya penerbit. - Noor Hayati Yasmi | Ditulis semula untuk siaran di THEHYPEMEDIA.COM
loading...
loading...

Related Posts :

0 Response to "'Kau Cakap Senanglah, Kau Dah Lulus, Aku Gagal!'"

Catat Ulasan