loading...
Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akan mempengaruhi dasar-dasar negara ini.
Pengerusi Biro Antarabangsanya Gooi Hsiao Leung berkata, jika TPPA ditandatangani, syarikat multinasional antarabangsa mempunyai hak untuk memberikan pandangan kepada kerajaan.
“Sebagai contoh syarikat-syarikat yang melabur di Malaysia berhak untuk memberi pandangan kepada kerajaan kalau sesuatu dasar dikira oleh syarikat ini tidak membawa faedah atau menjejaskan perniagaan mereka.
“Mereka ada hak untuk mendakwa kerajaan Malaysia membawa kes ini di luar bidang mahkamah kita,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sejauhmana kesan perjanjian TPPA ke atas monopoli syarikat di negara ini.
Hsiao Leung yang juga Ahli Parlimen Alor Setar menambah, perkara itu akan memberikan syarikat-syarikat dari luar negara pengaruh dan kuasa yang besar terhadap isu-isu domestik dan turut menjejaskan kedaulatan negara.
“Sudah tentu dari segi monopoli, kebimbangan saya ialah monopoli membawa kesan yang buruk terhadap negara,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau turut menggesa Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman untuk memberikan penjelasan mengenai kedudukan Malaysia dari segi geo-politik sekiranya menandatangani TPPA.
“Jika TPPA tidak mendatangkan sebarang faedah ekonomi, bagaimanakah perjanjian tersebut dapat memanfaatkan kita secara geo-politik?
“Saya juga ingin meminta jasa baik Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Badawi untuk memberikan pendapat mereka mengenai isu-isu geo-politik negara,” katanya.
Baru- baru ini, Anifah berkata rundingan bagi TPPA, diterajui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), telah dibincangkan secara menyeluruh bagi memastikan kedudukan Malaysia dijamin dan dilindungi.
Katanya, laporan PricewaterhouseCoopers Malaysia (PwC) menyatakan bahawa dengan mengambil bahagian dalam TPPA, Malaysia mempunyai peluang untuk membentuk teks TPPA dan lampirannya, serta memastikan perlindungan yang menyeluruh.
loading...
loading...
0 Response to "Bahaya TPPA: Syarikat asing akan mempunyai hak menentukan dasar negara..."
Catat Ulasan