SinarHairan

Pramugari diberhentikan Terus Usaha Perniagaan Kuih Tradisi Sabah

loading...
Bekas pramugari Malaysia Airlines Helen Leong Siau Phing memotong daun pisang untuk membuat kuih hinompuka. (Gambar Helen Leong)
Dibuang Kerja, Bekas Pramugari Cekal Usaha Perniagaan Kuih Tradisi Sabah

Tidak terkira berapa ramai yang terjejas sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac, termasuklah mereka yang bekerja di sektor penerbangan.

H elen Leong Siau Phing, 20, seorang bekas pramugari Malaysia Airlines (MAS), antara mereka yang diberhentikan selepas PKP memberi tamparan hebat kepada industri itu.



Helen Leong bergaya bersama pesawat Malaysia Airlines

Bagi Helen, apa yang diusahakan kini, demi menyara diri, jauh berbeza dengan hari-hari beliau terbang di awan biru dengan pakaian seragam MAS.

Beliau tekad mencuba nasib dengan menjual kuih hinompuka, sejenis pulut tradisional Kadazan yang dibungkus dengan daun pisang, selain mengusahakan produk kesihatan dalam talian selepas dibuang bekerja pada Ogos lalu.

“Saya tahu sesetengah orang mungkin anggap ‘tiada rezeki’ tetapi saya tak ada masalah, saya tak malu pun,” katanya.

“Sudah tentu sudah tak glamor macam apa saya buat dulu tapi apa nak dimalukan. Saya sebenarnya sudah biasa jual hinompuka, sejak di bangku sekolah lagi, tolong ibu buat dan hantar ke kedai-kedai. Saya sudah biasa hidup susah dan berdikari.”

Helen akui ada orang memandang rendah, namun wanita ini tak kisah sebab “saya tak perlu bandingkan diri saya dengan orang lain”.

“Semua orang cuba bertahan dan setiap kita ini ada jalan dan nasib masing-masing. Lagipun, apa salahnya jual hinompuka?” soalnya.

Bekas ratu cantik ini, bagaimanapun, akui sangat kecewa apabila mendapat tahu beliau hilang pekerjaan itu, yang disertainya selepas tamat persekolahan.

Helen berkhidmat sebagai pramugari pada 2018 selepas Malaysia Airlines memilihnya dan beberapa peserta lain dari pertandingan ratu cantik Unduk Ngadau – kemuncak Pesta Kaamatan – untuk temuduga.

 

📸 by @FreddyAuphotographyn

Tahun itu penuh makna bagi wanita berketurunan Sino Kadazan dari Penampang ini: Beliau layak ke pusingan akhir pertandingan ratu cantik peringkat daerah dan kemudian bekerja dengan syarikat penerbangan nasional.

“Saya bersyukur atas peluang itu dan pengalaman itu memang menyeronokkan, tapi sayangnya, industri terjejas selepas PKP dilaksanakan dan saya tidak terbang bermula April lalu.


Sekotak hinompuka yang sedia untuk dijual

“Situasi bertambah buruk dan akhirnya saya dilepaskan pada 14 Ogos, yang kebetulan ulang tahun kelahiran saya. Boleh awak bayangkan macam mana perasaan saya waktu itu?

“Kita sudah dimaklumkan sebulan awal mengenai keputusan itu dan saya sangka saya sudah bersedia menghadapinya. Tapi bila tiba hari itu, saya betul-betul terasa dan sedikit beremosi.”

Katanya, perkara itu sudah berlalu dan anak bongsu daripada 5 beradik itu hanya memikirkan masa depan.

Helen baru-baru ini bertunang dan menolong keluarga tunangnya menjaga sebuah rumah inap di Ranau.

Beliau tekad mahu meneruskan perniagaan hinompuka sebaik sahaja pulang ke Penampang selepas kawalan perjalanan antara daerah ditarik semula.

 


“Saya belum pasti apa yang saya mahu buat sekarang. Saya akan tangani apa sahaja yang datang. Tapi saya rasa saya mahu terus berniaga sebab minat,” katanya.

 

loading...
loading...

0 Response to "Pramugari diberhentikan Terus Usaha Perniagaan Kuih Tradisi Sabah"

Catat Ulasan