SinarHairan

'Balik Ya, Balik Jaga Ibu Bapa Kamu, Jaga Syurga Kamu'

loading...

Keluar dari 7 Eleven di Old Town PJ, saya nak buang botol minuman. Bertembung dengan seorang nenek tua yang sedang mengutip tin/botol dari tong sampah. Dia tersenyum dan menghulur tangannya, saya balas senyumannya dan menghulur botol pada dia. Sambil dia masukkan segala botol ke dalam beg plastik, saya tanya khabar dan bersembang kecil dengannya.

Entah berapa lama sembang, hinggalah beralih ke topik keluarga. Nenek ini ada seorang anak lelaki, dah dewasa. Nenek ini kelihatan tua di usia lingkungan 70'an, sebaya dengan nenek saya. Suaminya sudah lama meninggal, rumah di kampung dulu sudah lama dijual. Anak bawa nenek ke sini untuk tinggal bersama dengan isteri dan seorang bayi yang masih kecil. 

Nenek tinggal bersama dengan mereka namun menantunya tidak menyenangi kehadirannya. Bila anaknya pergi kerja, nenek itu akan dimarahi oleh menantunya. Katanya, nenek menyusahkan mereka sebab kadang-kadang terkencing di atas katil, rambut banyak gugur, tidak pandai mengemas dan sebagainya.

Untuk makan tengah hari, menantu akan masak untuk diri sendiri dan baby sahaja atau mereka makan di luar. Nenek nak masak sendiri tetapi tidak dibenarkan. Lagipun, nenek kata dia tidak reti menggunakan perkakasan dapur yang canggih sangat. Jadi, nenek akan makan malam saja bila anak lelakinya pulang dari kerja.

Kalau anaknya bertugas di luar kawasan, maka nenek akan menahan lapar untuk beberapa hari. Dia hanya bertahan dengan memakan biskut atau baki lauk yang sempat diambil. Itupun jika menantunya belum berikan kepada kucing. 

Walau apa pun yang dilakukan oleh menantunya, dia tetap memuji menantunya baik kerana suka bagi makanan pada kucing. Bila saya tanya mengapa dia tidak pernah mengadu pada anak mengenai perbuatan menantunya, dia hanya tersenyum dan berkata,

"Nenek dapat tempat tidur dan cukup makan, nenek bersyukur," katanya.

Disebabkan anak lelakinya selalu bertugas di luar kawasan, kebanyakan masa nenek dengan menantu. Menantu pula baru berhenti kerja beberapa bulan yang lalu. Siang hari, bila suami keluar bekerja, dia akan menghantar nenek ke satu tempat untuk mengutip segala tin, botol dan sebagainya. Duit hasil jualan barang kutipan itu akan dipegang oleh menantu, katanya sebagai sewa dan belanja nenek yang dia perlu tanggung selama ini. 

Sekali lagi saya bertanya, apakah anaknya tidak tahu mengenai perkara ini? Nenek hanya tersenyum dan berkata tidak mengapa, lagipun dia suka buat kerja. 

Saya perhatikan wanita berusia 70'an ini, badannya sudah lemah, kakinya juga kurang kudrat tetapi masih mampu tersenyum, masih bertahan memegang plastik untuk mengutip barang kitar semula. Nak turun tangga pun terketar-ketar, saya pimpin tangannya. Entah macam mana dia boleh berjalan seorang diri selama ini. 

Saya letak duit pada tangannya tetapi dia tolak dan berkata dia tidak perlukan duit. Lagipun semua duit/hasil jualan akan dipegang oleh menantu.

Selesai turun tangga, saya tanya "nenek dah makan?". Dia mengangguk tetapi saya tidak tahu apakah benar dia sudah makan? Kebetulan ada kedai pau di tepi jalan, lalu saya belikan sedikit untuk dia. Habis licin semua dimakan.

"Nenek tunggu menantu datang ambil ke?" soal saya.

"Ya, sudah sejam keliling tempat ini. Jadi sekarang tengah tunggu di sini untuk menantu datang jemput," katanya.

"Marilah, saya hantar nenek balik ke rumah," saya cuba mempelawanya tetapi dia menolak.

"Nenek tak tahu alamat. Tak apalah, nenek tunggu di sini, takut menantu marah pula nanti," katanya.

Dia mengenggam tangan saya dan berkata, "Terima kasih untuk pau tadi, sedap sangat. Balik ya, balik jaga ibu bapa kamu. Jaga 'syurga' kamu," katanya di hujung pertemuan kami.

Itulah pesanan terakhir darinya sebelum dia meminta saya pergi sebab takut terserempak dengan menantu. - Megat Syafiq | Ditulis semula untuk siaran di THEHYPEMEDIA.COM sahaja.
loading...
loading...

Related Posts :

0 Response to "'Balik Ya, Balik Jaga Ibu Bapa Kamu, Jaga Syurga Kamu'"

Catat Ulasan