loading...
Jarang saya jumpa orang semulia adik Idham, anak bakal ahli syurga.
Petang tadi selepas Jumaat, kawan mengajak ke Pasir Mas. Katanya nak berjumpa dengan adik Idham. Saya tanya kenapa? Katanya adik ini dari keluarga asnaf.
Tiba di depan rumah adik Idham, rumah kayu memang tengah mereput. Adik Idham dengan adik perempuannya, Zana dan bapa saudara mereka datang menyapa. Saya tersenyum dan memberi salam. Nampak adik Idham baru nak pakai baju.
Melangkah masuk ke dalam rumah ada, ada satu tirai pendek yang memisahkan tempat duduk tetamu dengan bahagian kiri sebelah rumah. Ada satu tubuh kaku terbaring di atas katil dan ada Ryle's Tube masuk ke hidungnya.
"Ya Allah, siapakah itu?"
Itulah ibu Idham. Kena stroke 8 bulan yang lalu. Terus tak sedarkan diri dan hampir koma. Bila dibawa ke hospital, doktor mengesahkan ada sebahagian daripada otaknya sudah mati. Komplikasi stroke yang paling menakutkan.
Bagi saya, mesti salur darah kepalanya pecah teruk dan sel-sel otak telah mati serta kena pada bahagian kaki tangan dan etc. Tak mampu bergeraklah sekarang. Muda lagi ibunya, sebelum puas tahun lepas dah terjadi. Sebelum itu, ibunya mengadu tiba-tiba sakit kepala yang sangat teruk. Idham membawa ibunya ke Hospital Lati. Idham masih ingat ibunya berkata,
"Ma nak tidur semeta,"
Dari saat ibunya tidur pada masa itu, ibunya tidak lagi sedarkan diri sehinggalah pada hari ini. Ibunya seakan-akan koma, masih boleh bergerak mata tetapi tiada suara. Mungkin dia dapat mendengar tetapi tiada lagi pergerakan.
Dulu, ibunya kerja membuat kuih dan hantar ke kedai orang. Jam 3 pagi lagi ibunya sudah bangun mengejutkan Idham dan adiknya untuk membantunya. Sebelum naik basikal ke Sekolah Menengah Perempuan (SMP), dia singgah dulu letak kuih dan terus ke sekolah.
"Terima kasih cikgu-cikgu yang membantu Idham bagi duit poket harian untuk berbelanja,".
Tetapi bila ibunya terlantar lumpuh seluruh badan, tiada lagi pendapatan tetap. Mereka hanya bergantung hidup dengan duit sedikit, hasil kuih yang dibuat oleh bapa saudaranya dan sumbangan orang ramai.
Idham dua beradik sahaja. Idham berusia 17 tahun dan Zana pula berumur 12 tahun. Kedua-duanya pada tahun peperiksaan. Tahun lalu, Idham tidak hadir ke sekolah selama 90 hari.
"90 hari? Kenapa?"
Idham perlu bergilir-gilir menjaga ibunya. Kadang-kadang Idham jaga, kadang-kadang bapa saudaranya. Terpaksa tak pergi ke sekolah. Katanya dia kena jaga ibunya setiap empat jam, perlu masukkan susu dalam tiub di hidung, kena basuhkan badan dan paling penting kena pastikan oksigen dari portable machine yansg dipinjamkan oleh HRPZ2 sentiasa ada.
Pada mulanya memang ada tindakan sekolah nak ambil ke atasnya, tetapi Alhamdulillah pihak sekolah memahami. Cikgu-cikgu ada juga yang menghulurkan sumbangan.
"Kalau tak ada elektrik macam mana?" soal saya sambil melihat kayu rumah yang sudah rapuh dan berlubang sana sini.
"Kami terus ke klinik berhampiran untuk meminjam tong oksigen sekejap sementara menunggu ambulans dari Hospital Lati sampai," jawabnya.
"Tahun ini tahun peperiksaan kan, macam mana nak periksa? Ibu macam mana? Zana duduk kelas pertama darjah enam, belajar pun pandai," kata saya padanya.
Idham hanya tunduk, "Tak tahulah bang, saya kena jaga ibu, sekolah nak periksa juga, adik pun ada peperiksaan UPSR tahun ini,".
Sungguh tinggi nilai akhlak si anak ini. Jaga ibu yang tak mampu bergerak langsung, tak boleh makan seperti biasa, tak boleh membersihkan diri sendiri pada usia yang masih muda. Basuh ibu, lap ibu, suap makanan, sikat rambut, letak bedak, tukar pampers, Idham memang seorang anak yang baik. Dia mengutamakan ibu yang melahirkannya tetapi itulah, pelajaran juga penting.
"Ibu dah jaga aku sampai 17 tahun kan, suap makanan, menyusu dan basuh najis. Takkan aku tak nak jaga ibu yang terlantar sakit?"
Mungkin itulah pemikiran Idham, cukup matang. Subhanallah, tiket yang jelas untuknya ke syurga. Idham anak yang sangat baik budinya, bercakap lemah lembut. Saya bangun dan melihat ibunya.
"Mak panas ni, kat luar panas. Mak panas ni, kipas kat bawah," kata Idham.
Saya pandang anak mata dia, memang kau anak syurga. Untung wanita ini mendapat anak seperti Idham. Allah Maha Kaya.
Jika ada pembaca yang ingin melawat atau menghulurkan bantuan/sumbangan, boleh hubungi saya untuk maklumat lebih lanjut. Ayuh sama-sama kita membantu keluarga ini semampu yang kita boleh. Kalau ada yang sedang rezeki lebih, apa salahnya kita sedekahkan kepada mereka untuk mereka makan, beli susu untuk ibu, barang mandi untuk basuh ibu mereka. Semoga Allah SWT akan membantu kita semasa kita susah kelak.
Ini akaun adik Idham
Bank Simpanan Nasional (BSN) - 0300741000154113 atas nama Muhamad Idham bin Mohd Nor.
Semoga tabah adik Idham, you're really good son. - Syazwan Fadeli | Ditulis semula untuk siaran di THEHYPEMEDIA.COM sahaja.
loading...
loading...
0 Response to "'90 Hari Tak Hadir Ke Sekolah, Rupa-Rupanya...'"
Catat Ulasan