Baru sahaja selesai mengadakan persembahan di Dataran Merdeka lewat Ahad lalu, Yus difahamkan mengalami sesak nafas ketika dalam perjalanan pulang dan dibawa ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan.Bagaimanapun, anak jati Perlis itu disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital berkenaan dan dipercayai akibat serangan sakit jantung.

Pemergian yang tiba-tiba ini benar-benar mengejutkan kerana semudah itu dia kembali kepada Yang Maha Esa.


Seluruh rakan-rakan menyatakan betapa istimewa insan bergelar Pak Yus ini, kerana sering hadir dengan lawak dan jenaka, bagi menghiburkan manusia lain.

Meskipun dirinya sarat dengan penderitaan, hidup dalam kesusahan dan hampir terpinggir dan dilupakan, dalam waktu yang sama, dia masih boleh terus menghiburkan orang lain.

Demikianlah kehebatan seorang seniman yang bukan sahaja menjadikan lawak jenaka sebagai sumber pencarian, sebaliknya wadah menghiburkan hati mereka yang sedang kesedihan.

Jenazah allahyarham telah dibawa pulang dan dikebumikan di kampung halaman, di Perlis selepas solat Asar pada Isnin lalu.

Ekoran perginya seorang lagi bintang yang bakatnya mula digilap menerusi program Sinaran Pasport Kegemilangan (2001) dan merupakan juara sulung Raja Lawak (2007), rata-rata selebriti tempatan menzahirkan rasa hiba mereka di laman sosial sebagai penghormatan terakhir buat Yus.

Ternyata, kehilangan Yus dirasakan begitu mendalam kerana kejujurannya selaku anak seni, menghiburkan sesiapa jua yang berada di sisinya dan berkawan dengan sesiapa sahaja tanpa mengira kedudukan.

Di sini, Hits paparkan luahan rasa selebriti tempatan yang dikongsikan di laman sosial masing-masing tentang perasaan mereka atas kehilangan Yus yang jasadnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Nesam, Batu Pahat, 
Kangar, Perlis. -UTUSAN ONLINE