loading...
“SAYA membuat perniagaan secara sah dan tidak mengutip duit orang ramai. Walaupun perniagaan ini baharu sahaja diusahakan sehingga hari ini semuanya berjalan lancar tanpa sebarang masalah. Tak sangka pula ada yang mengambil kesempatan dan melakukan hal tak baik kepada saya.” Begitu kata Man Kidal.Mengusahakan produk di bawah jenama MK Label Sdn. Bhd. hampir setahun yang lalu, gitaris popular itu mula menghidu kecurangan yang dilakukan oleh beberapa pengguna laman sosial terhadap perniagaan yang sedang diusahakan itu.
Beberapa status yang dimuat naik oleh beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan produk mereka untuk mengutip duit orang ramai agar menyertai perniagaan tersebut.
“Bila masa pula saya menjalankan perniagaan dengan mengutip duit orang? Saya menjual produk seperti perniagaan biasa dan kenapa pula mahu melibatkan nama produk tersebut dengan kegiatan tak baik?
“Mereka yang sebenarnya menggunakan taktik mengutip wang orang ramai untuk kepentingan sendiri. Yang terkena bahananya syarikat yang diusahakan dan nama baik saya,” kata Man Kidal.
Pihak Man Kidal sudah mula menghidu perkara tersebut kira-kira dua minggu yang lalu. Melalui beberapa status di laman sosial yang dimuat naik oleh individu terbabit, nama syarikat Global Tijari Capital Berhad yang menaungi MK Label Sdn. Bhd. terkait sama.
Pihak mereka turut mendapat beberapa panggilan telefon dan pertanyaan yang mahu mengesahkan adakah benar mereka menjalankan perniagaan dengan cara mengutip wang orang ramai.
Malah ada beberapa pengedar dari Kelantan datang sendiri ke pejabatnya yang terletak di Kota Damansara, Selangor untuk mendapatkan kepastian setelah melihat status berkenaan.
Selain itu, Amirullah Basarullah yang juga merupakan Pengarah Pemasaran syarikat Global Tijari turut mendedahkan yang pihaknya sudah membuat laporan polis terhadap beberapa status berkaitan dengan perkara berkenaan pada 2 September lalu.
Laporan yang dibuat di Balai Polis Sungai Pelong, Sungai Buloh, Selangor itu dibuat bagi mengekang pihak-pihak terbabit daripada terus menggunakan nama mereka untuk mengaut wang ringgit daripada pihak lain tanpa pengetahuan mereka.
Selain mahu membersihkan nama syarikat, tentu sekali laporan berkenaan bertujuan untuk mengelak pandangan negatif peminat terhadap Man Kidal sendiri yang sudah digelar legenda dalam bidang muzik.
“Global Tijari mempunyai 12 anak syarikat yang lain. Nama Man Kidal bukan hanya terlibat dalam pengeluaran produk harian semata-mata tetapi turut sama dalam beberapa bisnes lain termasuklah bidang pengurusan, hartanah, seni, resort, restoran dan banyak lagi.
“Jadi perkara sebegini tidak seharusnya berlaku apatah lagi rangkaian perniagaan MK Label turut melibatkan Angkasa (Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia) yang banyak membantu perniagaannya,” tambah Aminullah.
Tidak menolak perkara ini dilakukan dalam kalangan pengedar mereka sendiri, kedua-duanya menyerahkan kepada pihak PDRM (Polis Di Raja Malaysia) untuk mencari dalang perkara tersebut.
Mengakui yang kes begini benar-benar memberikan impak kepada dirinya, Man Kidal bagaimanapun menganggap perkara itu merupakan ujian yang harus dilalui biarpun sepanjang bergelar anak seni, perkara begini tidak pernah berlaku kepadanya.
“Sepanjang hidup saya, tentu sekali saya menjaga nama baik dan tak mahu menimbulkan sebarang masalah. Hal-hal begini membuatkan saya perlu berhati-hati memandangkan ada pihak lain yang cuba mengambil kesempatan terhadap saya.
“Produk yang sedang diusahakan ini bukan hanya untuk kepentingan saya sendiri tetapi turut melibatkan rakan artis yang lain. Saya cuma membantu mereka untuk mengembangkan perniagaan dengan cara yang betul tanpa perlu mengambil wang orang ramai,” kata Man Kidal.
Syarikat MK Label mempunyai seramai 6,000 pengedar di seluruh negara dan mengeluarkan 20 produk harian termasuklah air minuman beroksigen, jus moringga, pati gamat, pati delima dan banyak lagi.
Selain itu, dia juga membimbing Ella dan Raihan yang akan turut mengeluarkan produk sendiri.
Menyasarkan untuk menembusi pasaran Indonesia, China dan India tidak lama lagi, Man Kidal berharap impiannya untuk bergelar usahawan berjaya akan terlaksana.-Utusan
loading...
loading...
0 Response to "Man Kidal Lapor Polis, "Tak Sangka Ada Yang Mengambil Kesempatan."
Catat Ulasan