loading...
“Saya berusia awal 40-an, bekerja sebagai guru di sebuah sekolah rendah di utara tanah air. Suami, seorang pegawai bank dan baru meninggal dunia kira-kira tiga bulan lalu.
Kami mempunyai tiga orang anak berusia 15, 12 dan lapan tahun yang kesemuanya masih bersekolah.
“Arwah suami meninggal kerana sakit jantung. Saya tidak pernah tahu dia ada masalah jantung sehingga dia jatuh pengsan dan meninggal dunia setelah seminggu dirawat di ICU.
“Ketentuan Allah, saya terima dengan reda dan bersedia menghadapi masa depan dengan anak-anak tanpa suami di sisi. Alhamdulillah, keluarga saya memberi galakan yang sangat kuat. Mereka kekuatan saya untuk terus hidup.
“Walau sedih dengan kematian suami, saya tidak terlalu mengikut perasaan. Saya utamakan masa depan anak-anak dan akan buat yang terbaik untuk memastikan pendidikan mereka terjamin hingga ke universiti.
“Semasa hayatnya, arwah suami telah mengambil insurans pendidikan untuk anak-anaknya. Jadi, saya tidak ada masalah dengan perkara itu. Tetapi saya juga perlu ada perancangan sendiri agar hidup kami tidak susah.
“Dalam masa sedang berurusan tentang pembahagian dan penyelesaian harta peninggalan suami, mak mentua mula campur tangan. Dia lebih kalut daripada saya. Semua dia nak tahu.
“Saya tahu hak dia sebagai ibu tetapi janganlah buat saya macam orang bodoh, semua nak tanya dan periksa macam saya menipu dia. Saya tahu, itu peninggalan anak dia, saya akan uruskan mengikut apa yang dikehendaki agama. Tak ada niat pun nak ambil hak dia.
“Saya akui hubungan dengan mentua sebelum ini sangat baik tetapi tidak sangka pula selepas anaknya meninggal, dia berubah sikap. Soal siasat macam pegawai polis. Bosan pula saya.
“Arwah suami ada meninggalkan wang tunai, Amanah Saham Bumiputra (ASB), rumah, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kereta dan juga simpanan di Tabung Haji. Saya sudah menguruskan semuanya dan hanya menunggu ia diselesaikan mengikut syariah.
“Yang saya pelik, ibu mentua saya macam tidak percayakan saya. Dimintanya buku akaun suami. Dia pergi ke pejabat arwah suami, tanya berapa wang pampasan suami boleh dapat dan macam-macam lagi. Siap telefon ke sana sini bertanya bila semuanya boleh selesai.
“Malu saya dengan pegawai yang menguruskan semua perkara tersebut. Mereka juga pelik kenapa saya sebagai isteri tidak sibuk tetapi mak mentua pula yang kepoh. Saya katakan, hak anak dia, mesti dia hendak yang terbaik. Mereka hanya senyum. Mungkin faham dengan maksud saya.
“Bukan dia hendak tanya tentang cucu-cucunya, persekolahan mereka macam mana, bagaimana saya hendak uruskan anak tanpa suami, ini tidak, kalut dengan harta peninggalan anaknya.
“Kalau beginilah sikapnya, arwah juga tidak tenteram di dalam kubur…. Saya sangat sedih dan tidak tahu bagaimana hendak beritahu mentua saya supaya bertenang dan tunggu urusan itu semua selesai kerana dia akan mendapat haknya.
“Saya pun tahu hukum hakam agama dan tidak akan mengambil hak dia. Ini tidak, macam saya nak rampas semua hak dia. Sakit pula hati saya bila fikirkan.
“Pernah saya bagi tahu dia yang saya akan bagi hak dia tetapi dia kata, “mak hanya nak ingatkan kamu sahaja, takut kamu terlupa, mak juga ada hak ke atas apa juga yang arwah tinggalkan.
“Sampai macam tu sekali buruk sangka dia pada saya, pada hal semasa hayat suami, mentua saya sangat baik terhadap saya dan anak-anak. Sekelip mata dia berubah, itu yang saya hairan. Benarlah kata mak saya, kerana duit, kerana harta, saudara pun akan menjadi musuh.
“Bagaimanapun, saya tidak mahu buruk sangka dengan mentua saya dan berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan baik tanpa sebarang dendam. Risau juga saya kalau dia tidak puas hati dengan apa yang dia dapat nanti.
“Tapi saya sangat berharap semuanya akan menjadi baik belaka. Saya minta adik-adik ipar saya menjadi saksi bila peguam panggil kami untuk selesaikan perkara ini.
“Saya sangat berharap semuanya akan diselesaikan dengan baik kerana selepas ini, saya perlu fokus terhadap masa depan saya dan anak-anak. Saya sangat berharap Allah kurniakan kebaikan kepada kami dan sentiasa merahmati hidup kami nanti.
“Dan saya juga berdoa agar ibu mentua saya akan faham dan menerima haknya dengan rasa syukur dan mendoakan agar arwah anaknya sentiasa dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang beriman,” pinta Liza menamatkan ceritanya.
- Utusan
loading...
loading...
0 Response to "Luahan hati Isteri - Mentua Kalut Tanya Harta Peninggalan Suami..."
Catat Ulasan